Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
Advertise Here • 728x90 Leaderboard

Adakah kita benar-benar bersedia jika Perang Dunia Ketiga tecetus?

Satu simulasi perang yang sedang mendapat perhatian di Britain mengemukakan persoalan lebih besar, apa akan berlaku jika sebuah negara tiba-tiba berdepan serangan berskala besar dan reaksi rakyat negara itu.

September 23, 2026 • 1:27 PM 4 min read • 14 views
Adakah kita benar-benar bersedia jika Perang Dunia Ketiga tecetus?

SELAMA puluhan tahun, ancaman perang besar mungkin terasa seperti sesuatu yang jauh daripada kehidupan harian, terutama bagi masyarakat yang membesar selepas berakhirnya Perang Dingin.

Namun, satu simulasi perang yang sedang mendapat perhatian di Britain mengemukakan persoalan lebih besar, apa akan berlaku jika sebuah negara tiba-tiba berdepan serangan berskala besar dan mendapati sistem pertahanan serta masyarakatnya tidak benar-benar bersedia?

Persoalan itu menjadi asas kepada The Wargame, siri empat bahagian yang menggunakan senario serangan Rusia ke atas Britain untuk menguji bagaimana pemimpin politik, tentera, agensi keselamatan dan masyarakat akan bertindak ketika krisis. Siri itu mula disiarkan di Britain pada 21 September lalu.

IN-ARTICLE SPONSORED CONTENT • REACH 500K+ READERS

Walaupun jalan ceritanya adalah rekaan, simulasi itu dibangunkan bersama pakar pertahanan, ketenteraan dan akademik bagi menggambarkan tekanan sebenar yang mungkin dihadapi kerajaan ketika berlakunya konflik.

Dalam senario berkenaan, keputusan perlu dibuat dalam tempoh singkat ketika maklumat yang diterima sentiasa berubah. Pada masa sama, kerajaan perlu berdepan serangan fizikal, ancaman siber, penyebaran maklumat palsu serta tekanan terhadap kemudahan awam dan ekonomi.

Bukaan tentera sahaja perlu bersedia

Salah satu persoalan utama yang diketengahkan ialah sejauh mana sesebuah negara mampu bertahan jika konflik berlanjutan.

Perang moden tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada jumlah kereta kebal, kapal perang atau pesawat tempur. Bekalan peluru, bahan api, sistem komunikasi, rangkaian tenaga, pengangkutan, hospital dan industri yang mampu menghasilkan semula peralatan ketenteraan turut memainkan peranan.

Sky News sebelum ini melaporkan bahawa Britain berdepan kekurangan dalam beberapa aspek keupayaan perang, termasuk jumlah anggota, petugas perubatan dan stok peluru. Beberapa bekas pegawai kanan pertahanan turut mengkritik keadaan kesiapsiagaan tentera Britain selepas bertahun-tahun perbelanjaan pertahanan lebih menumpukan keperluan zaman aman.

Malah, pada Januari lalu, Ketua Staf Pertahanan Britain, Air Chief Marshal Sir Richard Knighton, memberitahu ahli Parlimen bahawa negara itu belum mempunyai rancangan lengkap untuk mempertahankan negara sekiranya tercetus perang besar di Eropah.

Beliau turut menyatakan bahawa Britain belum mempunyai perancangan terperinci mengenai cara menggerakkan doktor dan jururawat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bagi menghadapi jumlah mangsa yang besar dalam konflik berskala penuh.

Infrastruktur awam turut menjadi sasaran

Dalam konflik moden, medan perang tidak semestinya berada di kawasan sempadan.

Bekalan elektrik, sistem komunikasi, rangkaian internet, pelabuhan, lapangan terbang, landasan kereta api dan kemudahan tenaga boleh menjadi sasaran kerana gangguan terhadap infrastruktur tersebut mampu melumpuhkan kehidupan harian walaupun pertempuran tidak berlaku di setiap bandar.

Ancaman siber juga boleh digunakan untuk mengganggu sistem kerajaan, bank, syarikat utiliti dan rangkaian komunikasi.

Sebab itu persediaan menghadapi perang besar turut memerlukan kerjasama antara kerajaan, tentera, syarikat swasta dan masyarakat awam.

Britain sendiri mula meningkatkan usaha berhubung kesiapsiagaan nasional. Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelan pelaburan pertahanan bernilai £298 bilion untuk tempoh empat tahun, termasuk usaha meningkatkan kesiapsiagaan tentera, membina semula stok peluru dan memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman moden.

Bagaimana pula dengan orang awam?

Dalam perang besar, orang awam tidak semestinya berada di barisan hadapan tetapi kehidupan mereka tetap boleh berubah dalam tempoh singkat.

Gangguan bekalan makanan dan bahan api, masalah pengangkutan, bekalan elektrik terputus, kesesakan hospital dan gangguan komunikasi antara perkara yang perlu diambil kira.

Britain juga menjalankan latihan yang menguji tindak balas pihak berkuasa tempatan, perkhidmatan kecemasan dan tentera sekiranya berlaku serangan terhadap negara itu. Satu latihan pada tahun ini turut melibatkan wakil sektor perbankan dan utiliti bagi melihat bagaimana masyarakat awam boleh bertindak balas terhadap krisis besar.

Dalam keadaan sedemikian, kemampuan sesebuah negara untuk terus berfungsi mungkin sama penting dengan kekuatan tenteranya.

Tanda Perang Dunia Ketiga akan berlaku?

Tidak semestinya. The Wargame ialah simulasi untuk menguji keputusan dan kesiapsiagaan dalam situasi ekstrem, bukannya ramalan bahawa perang global bakal tercetus.

Namun, kebimbangan terhadap konflik besar memang semakin mendapat perhatian kerajaan dan pakar keselamatan di Eropah.

Dalam satu analisis Sky News pada April, Dr Rob Johnson dari Changing Character of Conflict Centre di Universiti Oxford mengenal pasti 80 petunjuk yang lazim dikaitkan dengan persediaan sesebuah negara menuju konflik bersenjata. 

Beliau berkata sebahagian besar petunjuk itu ketika ini menunjukkan peningkatan ketegangan, termasuk aktiviti ketenteraan, pembangunan infrastruktur, latihan, ujian peluru berpandu dan perubahan dasar diplomatik.

Apa yang boleh dipelajari daripada semua ini ialah perang besar tidak hanya menguji kekuatan tentera. Ia menguji kemampuan seluruh negara untuk terus berfungsi ketika berdepan tekanan luar biasa.

Dan sekiranya konflik berskala besar benar-benar berlaku, persoalan paling penting mungkin bukan siapa mempunyai senjata paling banyak, tetapi berapa lama sesebuah negara mampu bertahan apabila kehidupan harian, ekonomi dan sistem awam turut terganggu.

Passionate about independent digital journalism and tech trends.

Langgan Buletin NusaTimes

STICKY SPONSOR BANNER
300x600 Skyscraper Slot