Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
Advertise Here • 728x90 Leaderboard

GST Hibrid Malaysia: Relevan atau Tidak?

September 17, 2026 • 11:39 AM 6 min read • 137 views
GST Hibrid Malaysia: Relevan atau Tidak?

Bila GST disebut semula, ramai mungkin terus teringat satu angka, enam peratus. GST pernah diperkenalkan pada 2015 sebelum Malaysia kembali kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau (SST) pada 2018. Jadi apabila kerajaan baru-baru ini membuka ruang untuk mengkaji satu sistem yang menggabungkan beberapa elemen GST dan SST, tidak hairanlah jika persoalan pertama yang timbul ialah adakah GST akan kembali?

Buat masa ini, jawapannya belum.

Bernama melaporkan pada 19 Ogos lalu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Kewangan menjalankan kajian menyeluruh mengenai cadangan sistem cukai hibrid tersebut.

IN-ARTICLE SPONSORED CONTENT • REACH 500K+ READERS

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ditugaskan menilai kesesuaiannya sebelum laporan itu dibawa semula kepada Jemaah Menteri.

Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut menjelaskan bahawa cadangan berkenaan masih berada pada peringkat awal. Ia kerana kerajaan mahu melihat semula pengalaman ketika GST dilaksanakan dahulu, pada masa yang sama menilai masalah yang masih wujud dalam SST hari ini.

Anwar sebelum itu turut menjelaskan bahawa SST masih akan dikekalkan sebagai sistem sedia ada. Apa yang mahu dikaji ialah sama ada terdapat ciri tertentu daripada GST yang boleh digunakan tanpa Malaysia kembali kepada sistem cukai penggunaan yang terlalu meluas.

Maksudnya, setakat ini belum ada kadar cukai baharu, belum ada tarikh pelaksanaan dan kita juga belum tahu bagaimana rupa sebenar sistem hibrid yang sedang dikaji.

Namun persoalan yang lebih penting sekarang mungkin bukan lagi GST akan kembali atau tidak? Sebaliknya, jika SST masih mahu dikekalkan, mengapa beberapa ciri GST mahu dilihat semula?

Apa sebenarnya yang kurang pada SST?

Bagi banyak perniagaan, SST dianggap lebih mudah untuk ditadbir berbanding sistem GST penuh. SST mempunyai skop yang lebih sempit. Cukai Jualan merupakan cukai satu peringkat yang dikenakan ke atas barangan tertentu yang dikilang atau diimport, manakala Cukai Perkhidmatan pula dikenakan terhadap perkhidmatan bercukai tertentu.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana atau SME yang mungkin hanya mempunyai beberapa orang kakitangan menguruskan akaun, proses cukai yang lebih ringkas boleh mengurangkan masa dan kos pentadbiran.

Namun sistem yang lebih mudah tidak semestinya bermaksud sistem itu lebih cekap dalam semua keadaan. Antara masalah yang sering dibangkitkan ialah tax cascading, atau kesan cukai yang bertindih sepanjang rantaian bekalan. Istilah itu mungkin kedengaran teknikal, tetapi konsepnya mudah.

Bayangkan satu produk bergerak daripada pengilang kepada pengedar, kemudian kepada peruncit sebelum akhirnya sampai kepada pengguna. Dalam keadaan tertentu, cukai yang telah dibayar pada peringkat awal menjadi sebahagian daripada kos perniagaan. Apabila produk itu dijual semula, kos tersebut sudah termasuk dalam harga baharu.

Semakin panjang rantaian itu, semakin besar kemungkinan sebahagian cukai tersebut terkumpul sebagai kos.Akhirnya, syarikat hanya mempunyai dua pilihan sama ada menyerap kos berkenaan dan menerima margin keuntungan yang lebih kecil, atau memasukkannya ke dalam harga jualan kepada pengguna.

Masalah cukai bertindih bukan sekadar teori.

Isu ini bukan sekadar perbincangan atas kertas. Ketika skop SST diperluaskan pada Julai 2025, kerajaan sendiri memperkenalkan beberapa pengecualian antara perniagaan bagi mengurangkan kesan cukai bertindih.

Ini menunjukkan bahawa masalah tersebut memang telah dikenal pasti dalam reka bentuk SST semasa. Di sinilah salah satu ciri GST kembali mendapat perhatian.

Di bawah GST, perniagaan berdaftar boleh menuntut input tax credit bagi pembelian yang layak, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Secara mudahnya, cukai tertentu yang telah dibayar oleh perniagaan boleh diambil kira apabila cukai dikenakan pada jualan seterusnya. Dengan itu, cukai tersebut tidak semestinya terus menjadi kos kepada perniagaan.

Dalam satu tulisan di The Star pada 24 Ogos, Presiden Dewan Perniagaan Sikh Sedunia Malaysia, Jalbir Singh Riar dan rakan kongsi cukai di Ernst & Young Tax Consultants, melihat mekanisme ini sebagai antara kekuatan GST yang masih relevan.

Menurut beliau, kredit cukai input bukan sahaja membantu mengurangkan cukai yang terkumpul sepanjang rantaian bekalan, tetapi juga mewujudkan jejak transaksi yang lebih jelas.

Untuk membuat tuntutan, perniagaan perlu mempunyai rekod dan invois yang betul. Secara tidak langsung, setiap transaksi menjadi lebih mudah dijejaki.

Dari sudut kerajaan, keadaan ini boleh membantu mengurangkan ketirisan hasil serta meningkatkan tahap pematuhan cukai. Namun di sinilah juga kelemahan GST muncul.

GST datang bersama kos pematuhan yang lebih tinggi. Rekod, sistem perakaunan dan tuntutan cukai perlu diurus dengan lebih teliti. Bagi SME yang mempunyai pasukan kewangan kecil, setiap tambahan proses bermakna tambahan masa dan kos.

Jadi perbahasan ini sebenarnya bukan semudah mengatakan GST bagus dan SST tidak bagus. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Di sinilah idea sistem hibrid mula kelihatan menarik

Secara konsep, sistem cukai hibrid cuba mengambil bahagian yang berfungsi daripada kedua-dua sistem. SST boleh terus digunakan untuk sektor yang memang sesuai dengannya.

Pada masa sama, mekanisme tertentu daripada GST boleh digunakan bagi industri atau transaksi yang berdepan masalah cukai bertindih. Secara teori, formulanya nampak mudah.

Kekalkan SST yang lebih ringkas, tetapi gunakan mekanisme kredit cukai GST di bahagian yang diperlukan. Masalahnya, apabila sampai kepada pelaksanaan, persoalannya menjadi jauh lebih rumit.

Siapa yang layak mendapat kredit?

Pembelian apa yang boleh dituntut?

Bagaimana transaksi antara syarikat yang berada dalam kategori cukai berbeza akan direkodkan?

Jika perniagaan akhirnya perlu menguruskan terlalu banyak kategori, pengecualian dan peraturan berbeza, sistem yang pada asalnya mahu menjadi ‘jalan tengah’ boleh bertukar menjadi lebih rumit daripada SST yang digunakan sekarang. Di sinilah kerajaan perlu berhati-hati.

Sistem hibrid hanya berguna jika ia benar-benar menyelesaikan masalah, bukan sekadar menghasilkan satu lagi lapisan pentadbiran cukai. Tetapi Malaysia hari ini bukan Malaysia pada 2015.

Ada satu perubahan besar yang membezakan keadaan hari ini berbanding ketika GST dilaksanakan pada 2015 iaitu e-Invois.

Pelaksanaannya secara berperingkat memberi pihak berkuasa data transaksi yang lebih tersusun dan membolehkan rekod dipadankan dengan lebih mudah. Jalbir melihat perkembangan ini sebagai antara sebab reformasi cukai hari ini tidak perlu meniru sistem GST 2015 secara bulat-bulat.

Perkara ini membawa kepada satu persoalan yang sangat penting. Jika e-Invois sudah membantu kerajaan mendapatkan tahap ketelusan transaksi yang lebih tinggi, adakah Malaysia masih memerlukan keseluruhan struktur GST untuk mencapai tujuan yang sama.

Atau cukup sekadar mengambil bahagian yang benar-benar diperlukan?

Bagi pengguna pula, persoalannya jauh lebih mudah, adakah perubahan itu akhirnya akan memberi kesan kepada harga?

Anwar sendiri menegaskan bahawa kerajaan tidak mahu kembali kepada pendekatan cukai yang terlalu menyeluruh. Jadi jika sistem hibrid akhirnya diteruskan, ukuran kejayaannya tidak sepatutnya hanya berdasarkan berapa banyak hasil tambahan yang mampu dikutip kerajaan.

Ia juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana barangan asas dan isi rumah berpendapatan rendah dapat dilindungi.

Jadi, relevan atau tidak?

Secara amnya, GST hibrid relevan untuk dikaji. Tetapi relevan untuk dikaji tidak bermaksud ia secara automatik sesuai untuk dilaksanakan. Ada beberapa ciri daripada GST yang masih berguna.

Malaysia sudah mempunyai pengalaman dengan kedua-dua sistem. Kita tahu sebahagian perkara yang berfungsi dan kita juga tahu sebahagian perkara yang pernah menyusahkan pengguna serta perniagaan.

Tidak salah untuk mengambil apa yang baik daripada pengalaman lama. Tetapi sistem hibrid hanya benar-benar relevan jika hasil akhirnya lebih mudah untuk perniagaan, lebih telus untuk kerajaan dan masih adil kepada pengguna.

 

Kalau tidak, mungkin Malaysia sebenarnya tidak memerlukan satu lagi nama baharu untuk sistem cukai. Mungkin yang kita perlukan hanyalah memperbaiki apa yang sudah ada.

Passionate about independent digital journalism and tech trends.

Langgan Buletin NusaTimes

STICKY SPONSOR BANNER
300x600 Skyscraper Slot