Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
Advertise Here • 728x90 Leaderboard

Tuvalu: Negara kecil yang hampir ditelan laut

Menurut unjuran NASA untuk Funafuti, ibu negara Tuvalu, kawasan yang sebelum ini hanya mengalami beberapa kejadian banjir luar biasa boleh berdepan kira-kira 20 hari banjir setahun menjelang 2050 jika tiada perlindungan tambahan diambil kira.

September 24, 2026 • 5:51 PM 4 min read • 8 views
Tuvalu: Negara kecil yang hampir ditelan laut

KALAU melihat Tuvalu di peta, negara kepulauan kecil di tengah Lautan Pasifik itu kelihatan seperti titik-titik kecil yang dikelilingi lautan luas. Daratan Tuvalu hanya sekitar 26 kilometer (km) persegi dan purata ketinggiannya kira-kira 1.83 meter (m) dari paras laut.

Negara itu mempunyai sembilan pulau berpenghuni dengan jumlah penduduk sekitar 10,600 orang.Bagi kebanyakan negara, kenaikan paras laut beberapa sentimeter mungkin kedengaran seperti angka kecil. Namun, bagi Tuvalu ceritanya berbeza.

Data Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan paras laut di Tuvalu sudah meningkat kira-kira 14 hingga 15 sentimeter (cm) dalam tempoh 30 tahun lalu.

Dalam tiga dekad akan datang, kenaikan sekitar 19cm lagi dijangka berlaku walaupun kadar sebenar selepas itu banyak bergantung kepada tahap pemanasan global dan pelepasan gas rumah hijau. Perubahan itu mula terasa melalui sesuatu yang lebih mudah difahami penduduk tempatan iaitu air pasang dan banjir.

Menurut unjuran NASA untuk Funafuti, ibu negara Tuvalu, kawasan yang sebelum ini hanya mengalami beberapa kejadian banjir luar biasa boleh berdepan kira-kira 20 hari banjir setahun menjelang 2050 jika tiada perlindungan tambahan diambil kira.

Menjelang penghujung abad ini, jumlah itu boleh meningkat dengan banyak. Dalam senario pemanasan 3 darjah Celsius, NASA menganggarkan Funafuti boleh mengalami median sekitar 260 hari banjir setahun.

Angka itu ialah unjuran dan bukannya ramalan bahawa Tuvalu akan tenggelam pada tarikh tertentu.

Di sinilah masalah sebenar Tuvalu bermula. Apabila air laut semakin tinggi, air pasang besar lebih mudah memasuki kawasan daratan.

Air masin pula boleh menjejaskan sumber air tawar dan tanah. Pada masa sama, pantai berdepan hakisan dan kemudahan seperti jalan, rumah serta bangunan awam menjadi lebih terdedah.

Funafuti menjadi kawasan paling penting dalam isu ini kerana pulau kecil itu menempatkan sebahagian besar penduduk Tuvalu. Hampir separuh penduduk negara itu tinggal di Fogafale, pulau utama Funafuti yang turut menjadi lokasi ibu negara.

Sebab itu Tuvalu mengambil pendekatan yang agak luar biasa. Kalau mereka tidak mempunyai tanah tinggi untuk berpindah, mereka cuba menghasilkan tanah yang lebih tinggi.

Pada Oktober 2025, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengumumkan siapnya lapan hektar tanah tambakan baharu di Fogafale.

Tanah itu ditinggikan untuk mengurangkan risiko banjir dan direka supaya kekal berada di atas paras laut yang diunjurkan selepas 2100.

Ia menambah kepada 7.3 hektar tanah tinggi yang dibangunkan melalui fasa pertama projek berkenaan.

Projek itu menelan kos AS$17.5 juta dan mendapat pembiayaan daripada Australia, New Zealand serta Amerika Syarikat. Tanah baharu tersebut dirancang untuk kegunaan rumah, sekolah dan kemudahan penting masyarakat.

Jadi, cerita Tuvalu bukan tentang sebuah negara yang akan hilang ditelan laut pada satu pagi.

Perubahan yang berlaku lebih perlahan daripada itu. Air pasang semakin tinggi, banjir semakin kerap dan kawasan yang selamat untuk didiami menjadi semakin penting.

Kalau keadaan berterusan, kehidupan harian penduduk akan menjadi semakin sukar walaupun masih ada tanah yang kelihatan di permukaan laut.

NASA menganggarkan bahawa tanpa mengambil kira perlindungan baharu, hampir seluruh Tuvalu akhirnya akan berdepan peningkatan besar dalam kekerapan banjir menjelang hujung abad.

Dalam senario pemanasan yang lebih tinggi, jumlah hari banjir juga meningkat dengan ketara. Apa yang berlaku di Tuvalu turut memberi gambaran tentang keadaan beberapa negara pulau lain di Pasifik.

IN-ARTICLE SPONSORED CONTENT • REACH 500K+ READERS

Kiribati, misalnya, mengalami kenaikan paras laut sekitar lima hingga 11cm dalam tempoh 30 tahun lalu.

NASA mengunjurkan tambahan 15 hingga 30cm menjelang 2050. Bagi negara-negara ini, pilihan untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi hampir tidak wujud. Itu yang menjadikan setiap meter tanah begitu berharga.

Tuvalu sedang cuba membeli masa. Mereka membina perlindungan pantai, menambah tanah dan memperbaiki perancangan supaya penduduk masih boleh tinggal di negara sendiri.

Namun, ia tetap tidak mengubah hakikat bahawa laut di sekeliling mereka sedang naik. Sebab itu kisah Tuvalu menarik untuk dilihat dari sudut yang lebih dekat dengan kehidupan manusia.

Apa pun, persoalannya bukan bila seluruh negara itu akan tenggelam kerana tiada siapa boleh memberikan tarikh sedemikian dengan tepat.

Persoalannya ialah berapa lama kehidupan seperti hari ini boleh diteruskan apabila air laut semakin tinggi dan banjir semakin kerap.

Bagi penduduk Tuvalu, perubahan itu sudah pun berlaku. Dan setiap sentimeter kenaikan paras laut mempunyai makna yang jauh lebih besar apabila seluruh negara hanya mempunyai 26km persegi daratan. 

Passionate about independent digital journalism and tech trends.

Langgan Buletin NusaTimes

STICKY SPONSOR BANNER
300x600 Skyscraper Slot