Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
Advertise Here • 728x90 Leaderboard

Kalau alien datang ke Bumi, apa mereka makan?

Jika makhluk asing mempunyai sistem biologi yang berbeza daripada manusia, protein, gula atau lemak yang kita makan setiap hari mungkin langsung tidak boleh diproses oleh tubuh mereka.

O
Omar Wolfgang Wartawan Senior
September 26, 2026 • 12:26 AM 4 min read • 7 views
Kalau alien datang ke Bumi, apa mereka makan?

Dalam filem E.T. the Extra-Terrestrial, watak E.T. begitu tertarik dengan gula-gula Reese’s Pieces.

SELAMA ini, filem sains fiksyen banyak menggambarkan makhluk asing sebagai hidupan yang mempunyai selera hampir sama seperti manusia.

Dalam filem E.T. the Extra-Terrestrial misalnya, watak E.T. begitu tertarik dengan gula-gula Reese’s Pieces. Tetapi jika makhluk asing benar-benar datang ke Bumi, adakah mereka boleh makan makanan manusia?

Menurut pakar pemakanan dari University of Valencia, Profesor José Miguel Soriano del Castillo, jawapannya mungkin tidak semudah yang disangka. Malah, makanan yang biasa dan selamat untuk manusia berkemungkinan menjadi sesuatu yang berbahaya kepada makhluk asing. Ini kerana setiap hidupan mempunyai sistem pencernaan dan keperluan biologi yang berbeza.

Di Bumi sendiri, haiwan mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan tenaga daripada makanan. Lembu misalnya bergantung kepada bakteria dalam sistem pencernaannya untuk membantu memecahkan selulosa dalam rumput.

Jadi, jika makhluk asing mempunyai sistem biologi yang berbeza daripada manusia, protein, gula atau lemak yang kita makan setiap hari mungkin langsung tidak boleh diproses oleh tubuh mereka.

Sebaliknya, mereka mungkin lebih memerlukan bahan asas yang terdapat di Bumi seperti air, nitrogen, fosforus, zat besi, garam, lipid, biomassa mikrob dan molekul organik ringkas.

Dengan kata lain, mereka mungkin tidak mencari nasi, roti, daging atau buah-buahan seperti manusia, sebaliknya mencari bahan mentah yang boleh diproses mengikut sistem biologi mereka sendiri.

Jadi, lembu mungkin lebih selamat?

Teori ini menjadikan satu gambaran popular dalam cerita makhluk asing kelihatan sedikit menarik. Selama puluhan tahun, filem dan cerita sains fiksyen sering menggambarkan lembu sebagai haiwan yang menjadi mangsa penculikan makhluk asing.

Jika benar-benar ada makhluk asing yang tiba di Bumi, lembu mungkin mempunyai kelebihan kerana ia menawarkan sumber bahan organik dan nutrien yang banyak. Bagaimanapun, itu masih sekadar andaian.

Tiada siapa tahu sama ada makhluk asing mempunyai sistem penghadaman seperti manusia, haiwan, tumbuhan atau sesuatu yang langsung tidak menyerupai kehidupan di Bumi.

Para saintis hanya boleh membuat anggaran berdasarkan perkara asas yang diketahui mengenai kehidupan.

Secara umum, kehidupan memerlukan sumber tenaga, cecair untuk membolehkan tindak balas kimia berlaku serta unsur kimia yang sesuai. Bumi mempunyai semua bahan tersebut dalam jumlah yang banyak.

Filem dan cerita sains fiksyen sering menggambarkan lembu sebagai haiwan yang menjadi mangsa penculikan makhluk asing.

Berapa banyak makanan diperlukan makhluk asing?

IN-ARTICLE SPONSORED CONTENT • REACH 500K+ READERS

Keperluan tenaga juga bergantung kepada saiz dan bentuk badan mereka. Sebagai contoh, makhluk asing kecil dengan berat sekitar 25 hingga 40 kilogram (kg) mungkin memerlukan kira-kira 800 hingga 1,100 kilo kalori sehari.

Jika ia mempunyai otak yang besar dan aktif, keperluan tenaganya mungkin lebih tinggi.

Makhluk asing berbentuk reptilia pula mungkin mempunyai keperluan tenaga yang berbeza. Jika berdarah sejuk, haiwan seberat 100 kg mungkin menggunakan tenaga yang agak sedikit ketika berehat.

Sebaliknya, jika ia merupakan pemangsa aktif dan berdarah panas, makhluk seberat 150 kg mungkin memerlukan sekitar 3,000 kilo kalori sehari.

Makhluk asing yang mempunyai bentuk badan hampir seperti manusia pula mungkin memerlukan jumlah yang tidak jauh berbeza. Individu seberat 80 hingga 90 kg dianggarkan memerlukan sekitar 1,900 hingga 2,300 kilokalori sehari.

Namun, jumlah itu hanya anggaran tenaga asas untuk mengekalkan kehidupan. Ia belum mengambil kira tenaga yang diperlukan untuk bergerak, berfikir atau melakukan aktiviti lain.

Bagaimana kalau mereka tidak perlu makan?

Ini mungkin bahagian paling menarik. Ada kemungkinan makhluk asing yang pertama ditemui manusia bukanlah makhluk hidup yang memerlukan makanan, sebaliknya mesin atau robot yang dihantar untuk meneroka alam semesta.

Jika tamadun asing cukup maju sehingga mampu menghasilkan mesin autonomi, robot tersebut mungkin tidak memerlukan protein, karbohidrat atau lemak. Sebaliknya, sumber tenaga mereka mungkin datang daripada elektrik, haba, bahan api kimia atau tenaga nuklear.

Dalam keadaan itu, makhluk asing tidak perlu mencari restoran, ladang atau ternakan. Mereka hanya perlu mencari sumber tenaga.

Bayangkan jika suatu hari manusia menerima isyarat daripada sebuah kapal asing yang tiba di Bumi.

Kita mungkin sibuk mencari jawapan kepada persoalan besar seperti dari mana mereka datang, bagaimana mereka boleh sampai ke sini dan apakah tujuan mereka.

Tetapi satu perkara yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran ialah mereka makan apa? Persoalan itu sebenarnya penting.

Jika manusia benar-benar bertemu dengan kehidupan dari planet lain suatu hari nanti, saintis mungkin perlu mempelajari bukan sahaja biologi makhluk tersebut, tetapi juga makanan, sumber tenaga, toksin, mikroorganisma dan bahan yang boleh digunakan tanpa merosakkan ekosistem Bumi.

Dan mungkin ketika itu kita akan sedar bahawa menyediakan makanan untuk makhluk asing jauh lebih rumit daripada sekadar bertanya “Nak makan nasi atau mi?” 

Langgan Buletin NusaTimes

STICKY SPONSOR BANNER
300x600 Skyscraper Slot