SELAMA hampir satu abad, manusia moden seolah-olah bergerak dalam satu arah yang meyakinkan iaitu generasi baharu harus mencatatkan skor kecerdasan lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.
Namun, seorang pakar neurosains Perancis, Michel Desmurget, membawa satu dakwaan yang jauh lebih membimbangkan.
Menurut Desmurget, generasi yang membesar sebagai ‘digital natives’ merupakan antara generasi pertama yang menunjukkan skor IQ lebih rendah berbanding generasi ibu bapa mereka, satu pembalikan kepada trend peningkatan kecerdasan yang berlaku sepanjang sebahagian besar abad ke-20. Dakwaan berkenaan telah dikaitkan dengan trend yang dikesan di beberapa negara termasuk Norway, Denmark, Finland, Belanda dan Perancis.
Persoalannya, adakah manusia sedang menjadi semakin kurang pintar? Lebih penting, adakah telefon pintar, media sosial, permainan video dan budaya skrin yang kini menguasai kehidupan generasi muda mempunyai kaitan dengannya?
Siapa Michel Desmurget?
Desmurget bukan sekadar pengkritik media sosial atau penulis motivasi yang mahu menakutkan ibu bapa. Beliau merupakan penyelidik dalam bidang neurosains kognitif dan kini mengetuai pasukan Neural and Cognitive Control of Action di Institut des Sciences Cognitives Marc Jeannerod di Perancis. Bidang penyelidikannya melibatkan hubungan antara otak, perkembangan kognitif dan tingkah laku manusia.
Namanya mendapat perhatian meluas menerusi buku La Fabrique du crétin digital yang diterbitkan pada 2019.
Terjemahan kasarnya cukup keras “Kilang Si Dungu Digital.”
Menerusi buku tersebut, Desmurget mengemukakan hujah bahawa penggunaan berlebihan televisyen, permainan video, tablet, telefon pintar dan media digital bukan sekadar mengambil masa kanak-kanak, malah berpotensi mengganggu beberapa komponen penting perkembangan mereka.
Penerbit buku tersebut, Éditions du Seuil, menyatakan bahawa Desmurget memberi perhatian kepada tempoh penggunaan skrin yang sangat tinggi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Hampir tiga jam sehari seawal usia dua tahun dalam data yang diketengahkannya, sekitar empat jam 45 minit bagi umur lapan hingga 12 tahun, dan hampir enam jam 45 minit bagi remaja berusia 13 hingga 18 tahun.
Bayangkan sebentar. Enam jam sehari bersamaan kira-kira 42 jam seminggu. Itu hampir menyamai tempoh seseorang bekerja sepenuh masa. Bezanya, sebahagian remaja menghabiskan tempoh tersebut sebelum mereka pun memasuki alam pekerjaan.
“Generasi pertama IQ lebih rendah daripada ibu bapa”
Inilah antara dakwaan Desmurget yang paling mendapat perhatian. Beliau berhujah bahawa fenomena yang diperhatikan dalam beberapa masyarakat maju menunjukkan bahawa generasi digital merupakan generasi yang berdepan kemungkinan skor kecerdasan lebih rendah berbanding generasi sebelumnya.
Namun dakwaan itu perlu difahami dalam konteks yang betul. Ia bukan bermaksud semua remaja hari ini lebih bodoh daripada ibu bapa mereka. Ia juga bukan bermaksud seorang individu Gen Z pasti memiliki IQ lebih rendah daripada seorang Millennial atau Baby Boomer.
Apa yang sedang dibincangkan ialah perubahan purata skor keupayaan kognitif pada peringkat populasi. Di sinilah muncul satu fenomena yang dikenali sebagai Reverse Flynn Effect.
Sepanjang abad ke-20, penyelidik mendapati skor IQ manusia meningkat secara konsisten dari satu generasi ke generasi seterusnya. Fenomena itu dikenali sebagai Flynn Effect, mengambil nama ahli psikologi James Flynn.
Di Amerika Syarikat misalnya, peningkatan skor IQ sepanjang sebahagian besar abad ke-20 dianggarkan sekitar tiga hingga lima mata bagi setiap dekad.
Pelbagai faktor dipercayai membantu peningkatan tersebut. Pendidikan bertambah baik. Nutrisi menjadi lebih baik. Kesihatan kanak-kanak meningkat. Masyarakat menjadi lebih kompleks.
Namun dakwaan itu perlu difahami dalam konteks yang betul. Ia bukan bermaksud semua remaja hari ini lebih bodoh daripada ibu bapa mereka. Ia juga bukan bermaksud seorang individu Gen Z pasti memiliki IQ lebih rendah daripada seorang Millennial atau Baby Boomer.
Lebih ramai manusia perlu membaca, memahami simbol, mengendalikan teknologi, menyelesaikan masalah dan berfikir secara abstrak dalam kehidupan harian. Pendek kata, dunia moden secara tidak langsung ‘melatih’ otak manusia. Tetapi kemudian sesuatu berubah.
Pada 2018, penyelidik Bernt Bratsberg dan Ole Røgeberg menerbitkan satu kajian penting dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Mereka menggunakan data pentadbiran dan skor keupayaan kognitif daripada lelaki Norway melibatkan kohort kelahiran antara 1962 hingga 1991. Hasilnya menunjukkan peningkatan Flynn Effect mencapai titik perubahan sebelum kemudian mengalami penurunan.
Apa yang menjadikan kajian tersebut lebih menarik ialah penyelidik turut membandingkan individu dalam keluarga yang sama. Corak peningkatan, titik perubahan dan penurunan itu tetap dapat dikesan melalui perbezaan antara ahli keluarga.
Ini menyebabkan penyelidik menyimpulkan bahawa faktor persekitaran memainkan peranan penting terhadap perubahan tersebut, bukannya penjelasan genetik semata-mata.
Dalam bahasa mudah, gen manusia tidak berubah secara dramatik dalam masa beberapa dekad. Tetapi kehidupan manusia berubah dan perubahan itu sangat besar.
Kemudian datang smartphone
Telefon pintar moden mula menjadi sebahagian kehidupan masyarakat secara besar-besaran sekitar penghujung 2000-an dan awal 2010-an.
Selepas itu datang Instagram, YouTube, Snapchat, TikTok, permainan mudah alih, sistem notifikasi tanpa henti dan algoritma yang direka untuk memastikan manusia terus memandang skrin.
Bagi generasi sebelumnya, internet ialah sesuatu yang mereka gunakan. Bagi sebahagian generasi baharu, internet ialah persekitaran tempat mereka membesar. Perbezaannya besar.
Seorang kanak-kanak dahulu yang bosan mungkin membaca komik, keluar bermain, bercakap dengan ibu bapa, membina sesuatu dengan tangannya atau sekadar berkhayal.
Hari ini, beberapa saat kebosanan sudah cukup untuk tangan mencapai telefon. Bagi Desmurget, masalahnya bukan sekadar apa yang terdapat pada skrin.
Masalah lebih besar ialah apa yang digantikan oleh skrin tersebut. Masa manusia tetap 24 jam sehari. Jika beberapa jam sehari digunakan untuk kandungan digital rekreasi, masa tersebut perlu datang daripada sesuatu.
Ia mungkin datang daripada tidur. Membaca. Bersenam. Berinteraksi dengan keluarga. Melakukan kerja sekolah. Bermain secara fizikal. Atau sekadar duduk dan berfikir.
Desmurget memberi penekanan besar kepada perkara ini dalam kritikannya terhadap penggunaan skrin kanak-kanak. Buku beliau mengaitkan penggunaan digital yang tinggi dengan isu melibatkan pembelajaran, perkembangan bahasa, perhatian dan perkembangan kognitif.
Amerika pula menunjukkan tiga kemampuan kognitif menurun
Satu lagi kajian besar diterbitkan pada 2023 oleh penyelidik dari Northwestern University dan University of Oregon. Kajian tersebut menganalisis data daripada 394,378 orang dewasa Amerika yang mengambil ujian keupayaan kognitif antara 2006 dan 2018.
Penyelidik menemui bukti Reverse Flynn Effect dalam tiga daripada empat domain yang diperiksa. Penurunan dilihat dalam keupayaan menyelesaikan masalah abstrak melalui corak visual, keupayaan mengenal pasti pola dan keupayaan menggunakan bahasa dan penaakulan.
Tetapi terdapat satu perkara menarik. Kemampuan spatial reasoning, termasuk keupayaan membayangkan dan memutar objek tiga dimensi secara mental, menunjukkan peningkatan.
Ini sekali lagi menyebabkan kita perlu berhati-hati sebelum mengatakan manusia sedang ‘menjadi bodoh’.
Mungkin apa yang berlaku lebih rumit. Otak manusia mungkin sedang menyesuaikan dirinya dengan dunia yang berbeza. Kita semakin pantas mendapatkan jawapan, tetapi semakin malas mencarinya dalam kepala?
Generasi terdahulu perlu mengingati nombor telefon. Hari ini telefon mengingatinya. Dahulu kita menghafal jalan. Hari ini Google Maps melakukannya.
Dahulu pelajar perlu mencari beberapa buku untuk memahami sesuatu topik. Kini satu arahan kepada enjin carian atau AI boleh menghasilkan jawapan dalam beberapa saat.
Teknologi memberikan manusia kuasa kognitif luar biasa. Tetapi pada masa sama timbul satu persoalan yang tidak selesa; jika teknologi sentiasa berfikir untuk kita, berapa kerap kita masih melatih diri untuk berfikir sendiri?
Masalahnya mungkin bukan kerana generasi baharu tidak mempunyai akses kepada ilmu. Hakikatnya mereka mempunyai akses kepada lebih banyak ilmu berbanding mana-mana generasi dalam sejarah manusia.
Ironinya, akses kepada maklumat bukan perkara yang sama dengan kemampuan memahami maklumat.
Menonton 50 video pendidikan satu minit tidak semestinya mempunyai kesan kognitif yang sama dengan membaca sebuah buku selama dua jam.
Mengetahui seribu fakta juga tidak semestinya bermaksud seseorang mampu menghubungkan fakta tersebut, menilai kesahihannya dan membina hujah yang kompleks.
Di sinilah amaran Desmurget menjadi semakin relevan. Ekonomi digital hari ini dibina berdasarkan satu komoditi yang sangat bernilai iaitu perhatian manusia.
Setiap swipe, klik, komen, tontonan dan minit yang dihabiskan dalam aplikasi mempunyai nilai komersial. Platform bersaing bukan sekadar menghasilkan kandungan yang bagus. Mereka bersaing untuk memastikan pengguna tidak meninggalkan skrin.
Kandungan kemudian menjadi semakin pendek. Video 10 minit menjadi tiga minit. Tiga minit menjadi 60 saat. 60 saat menjadi 15 saat. Dan sebelum otak sempat bosan, satu lagi rangsangan muncul melalui gerakan ibu jari. Dalam keadaan itu, membaca sebuah artikel sepanjang 2,000 perkataan mula terasa ‘terlalu panjang’.
Membaca buku 300 muka surat terasa seperti satu hukuman. Menonton kuliah sejam tanpa menyentuh telefon menjadi cabaran. Jika corak sebegini berlaku sejak kanak-kanak, kebimbangan yang dibangkitkan Desmurget sekurang-kurangnya wajar dipandang serius.
Penyelidik menemui bukti Reverse Flynn Effect dalam tiga daripada empat domain yang diperiksa. Penurunan dilihat dalam keupayaan menyelesaikan masalah abstrak melalui corak visual, keupayaan mengenal pasti pola dan keupayaan menggunakan bahasa dan penaakulan.
Tetapi jangan salahkan Gen Z semata-mata
Ada satu ketidakadilan jika semua kesalahan diletakkan kepada Gen Z. Mereka tidak mencipta smartphone. Mereka tidak mencipta algoritma TikTok. Mereka tidak membina model perniagaan media sosial. Malah mereka dilahirkan ke dalam sebuah sistem digital yang dibangunkan oleh generasi sebelumnya.
Dan bukti saintifik setakat ini juga tidak membolehkan kita mengatakan smartphone ialah penyebab tunggal penurunan IQ. Kajian Norway menunjukkan faktor persekitaran penting, tetapi tidak menetapkan satu faktor tunggal sebagai puncanya.
Kajian Amerika pula menunjukkan beberapa skor kognitif menurun sedangkan keupayaan spatial meningkat, dan penyelidiknya sendiri menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermakna kita boleh terus menyimpulkan manusia semakin kurang cerdas.
Pendidikan berubah. Cara peperiksaan dilakukan berubah. Pemakanan berubah. Struktur keluarga berubah. Pendedahan kepada pencemaran boleh berubah. Cara kita bekerja berubah dan tentunya teknologi berubah. Semuanya mungkin memainkan peranan.
Malaysia juga patut bertanya soalan yang sama
Persoalan ini akhirnya bukan hanya tentang Perancis, Norway atau Amerika Syarikat. Ia juga relevan kepada Malaysia. Lihat sahaja kehidupan harian kita. Kanak-kanak diberikan telefon ketika makan supaya mereka diam.
Pelajar menonton video sambil membuat kerja sekolah. Orang dewasa memeriksa telefon ketika mesyuarat. Keluarga duduk semeja tetapi masing-masing mempunyai skrin sendiri. Bahkan apabila menonton televisyen, tangan masih memegang telefon kedua.
Kita mungkin merupakan masyarakat yang paling banyak menerima maklumat dalam sejarah. Tetapi belum tentu kita menjadi masyarakat yang paling mendalam berfikir. Itulah paradoks zaman digital.
Pada akhirnya, nombor IQ mungkin bukan perkara paling menakutkan. Yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan generasi manusia sedang kehilangan kesabaran kognitif.
Keupayaan membaca panjang. Duduk dalam keadaan bosan. Memikirkan masalah selama sejam tanpa mendapatkan jawapan segera. Mendengar pandangan yang tidak dipersetujui. Membina hujah daripada beberapa sumber. Membezakan fakta dengan propaganda dan menahan diri daripada memberi reaksi dalam masa lima saat.
Dalam zaman maklumat palsu, deepfake, propaganda algoritma dan kecerdasan buatan, kemampuan seperti itu mungkin jauh lebih penting daripada sekadar memperoleh markah tinggi dalam ujian IQ.
Desmurget mungkin menggunakan bahasa yang keras. Malah tajuk bukunya sendiri sengaja provokatif. Namun di sebalik provokasi itu terdapat satu persoalan yang sukar kita elakkan iaitu bagaimana jika teknologi yang dicipta untuk menjadikan manusia lebih pintar akhirnya mengurangkan masa yang kita gunakan untuk melatih otak menjadi pintar?
Generasi digital tidak semestinya generasi yang kurang bijak.
Tetapi jika amaran Michel Desmurget dan tanda-tanda Reverse Flynn Effect mempunyai asas yang kukuh, masyarakat mungkin perlu berhenti bertanya berapa umur sesuai untuk memberikan smartphone kepada seorang kanak-kanak.
Sebaliknya, kita mungkin perlu mula bertanya soalan yang lebih besar, apakah jenis manusia yang sedang kita bina apabila hampir setiap saat sunyi, bosan dan berfikir kini diisi oleh sebuah skrin?