CHINA kini mempunyai laluan baharu untuk membawa barangan dari kawasan pedalaman negara itu ke Asia Tenggara selepas Terusan Pinglu dibuka secara rasmi pada 16 September lalu.
Terusan sepanjang 134.2 kilometer (km) di Guangxi itu dibina dengan kos 72.7 bilion yuan atau, kira-kira AS$11 bilion dan menghubungkan kawasan pedalaman dengan Teluk Beibu sebelum laluan perdagangan itu bersambung ke Laut China Selatan.
Pembukaan terusan itu memberi kelebihan besar kepada wilayah barat daya China seperti Guangxi dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini berdepan laluan lebih panjang untuk membawa barangan ke pelabuhan.
Melalui Terusan Pinglu, perjalanan pengangkutan air dapat dipendekkan lebih 560km berbanding laluan menerusi Guangzhou, manakala kos logistik keseluruhan dijangka berkurangan antara 18 hingga 30 peratus.
Terusan itu boleh dilalui kapal dengan muatan sehingga 5,000 tan.
Bagi China, projek berkenaan bukan sekadar membina satu lagi laluan air. Ia memberikan kawasan barat daya negara itu akses lebih dekat ke laut dan pasaran luar, khususnya ASEAN yang kini menjadi rakan dagang terbesar China.
Laluan baharu itu juga melengkapkan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu yang menghubungkan kawasan barat China dengan pelabuhan Teluk Beibu sebelum barangan dihantar ke Asia Tenggara melalui laut.
Kesan awal terhadap perdagangan juga sudah mula kelihatan. Sebelum pembukaan rasmi, komponen kenderaan keluaran SAIC-GM-Wuling dihantar melalui Terusan Pinglu menuju Can Tho, Vietnam.
Syarikat itu menganggarkan penggunaan laluan baharu berkenaan boleh mengurangkan kos logistik sekitar 10 peratus.
Namun, persoalan lebih besar sekarang ialah sama ada terusan itu mampu menarik jumlah kargo yang mencukupi untuk mengekalkan kelebihan kos dalam jangka panjang.
Gordon Kee, penyelidik bersekutu di Hong Kong Institute of Asia-Pacific Studies, Universiti Chinese University of Hong Kong berkata, barat daya China sebelum ini berada di hujung rangkaian pengangkutan air dan logistik negara itu.
Terusan baharu tersebut menyediakan laluan lebih terus ke Pelabuhan Qinzhou di Teluk Beibu.
Menurut laporan Channel News Asia, operator Terusan Pinglu sudah mengatur penghantaran untuk lebih 30 pelanggan dalam tempoh beberapa hari selepas pembukaan.
Ia turut mempunyai perjanjian melibatkan kira-kira tiga juta tan kargo, dengan 1.8 juta tan daripadanya disokong kontrak pengangkutan sebenar.
Malaysia juga mempunyai kepentingan dalam perkembangan itu.
Bernama sebelum ini melaporkan Terusan Pinglu dijangka membuka peluang baharu kepada perniagaan Malaysia melalui hubungan lebih baik dengan hab perdagangan Qinzhou di Guangxi.
Pelabuhan itu turut mempunyai hubungan dengan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang menjadi antara platform kerjasama ekonomi kedua-dua negara.
Dengan laluan baharu itu, produk Malaysia berpotensi mendapat akses lebih baik ke kawasan pedalaman China, manakala syarikat China pula mempunyai laluan lebih pendek untuk membawa barangan ke pasaran ASEAN.
Bagi rantau ini, pembukaan Terusan Pinglu juga berlaku ketika hubungan perdagangan China-ASEAN terus berkembang.
Laluan itu boleh memberi pilihan baharu kepada pengeluar dan pengeksport yang sebelum ini bergantung kepada rangkaian pengangkutan darat, kereta api dan pelabuhan sedia ada.
Namun, kejayaan terusan itu tidak hanya bergantung kepada kemampuan memendekkan perjalanan. Jumlah kargo yang bergerak dalam kedua-dua arah juga penting bagi memastikan kos pengangkutan kekal kompetitif.
Bernama melaporkan Terusan Pinglu kini dilihat sebagai simbol hubungan dan peluang baharu antara China dengan ASEAN, manakala pihak berkuasa Guangxi menyifatkannya sebagai pintu masuk maritim baharu yang menghubungkan wilayah itu dengan Laut China Selatan dan rantau lebih luas.
Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana Terusan Pinglu akan mengubah corak perdagangan Asia Tenggara. Tetapi pembukaannya menunjukkan China semakin memberi tumpuan kepada laluan yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan ASEAN.
Bagi Malaysia, perkembangan itu membuka satu lagi persoalan: sejauh mana syarikat tempatan mampu mengambil peluang daripada rangkaian perdagangan baharu yang semakin menghubungkan China dengan Asia Tenggara?