KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 — Kerajaan akan mengkaji semula peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia susulan kadar penempatan semula pelarian ke negara ketiga yang rendah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya lebih 5,000 orang ditempatkan semula dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, dengan kebanyakannya bukan etnik Rohingya, menurut Utusan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.
“Banyak negara yang selalunya menerima pelarian ini sekarang sudah menutup pintu. Mereka membuat dasar antiimigran,” kata Mohamad.
Mohamad bagaimanapun menegaskan Malaysia tidak boleh menghantar pulang Rohingya ke Myanmar selagi keselamatan mereka tidak terjamin, kerana mereka berisiko kembali berdepan keganasan.
Beliau berkata, rundingan peringkat tertinggi dengan Myanmar akan diteruskan bagi mencari penyelesaian konflik dalaman yang menyebabkan penduduk meninggalkan negara itu.
Selagi konflik berkenaan tidak diselesaikan, pelarian tidak akan pulang dan lebih ramai akan keluar, menurutnya.
Sebelum ini, pada 30 September, UNHCR menyuarakan kebimbangan terhadap penghantaran pulang lebih 1,000 warga Myanmar dari Malaysia. Agensi itu menyatakan keadaan kemanusiaan dan keselamatan di Myanmar boleh mendedahkan mereka kepada risiko serius, menurut Reuters.
UNHCR turut menyatakan ketiadaan aksesnya ke pusat tahanan menyukarkan penilaian sama ada individu terbabit bebas memilih untuk pulang.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Anwar bincang kepulangan pelarian secara selamat, bermaruah dengan Presiden Myanmar
Presiden Myanmar tiba di Malaysia, penghantaran pulang rakyatnya antara agenda
Tiada Rohingya antara warga Myanmar yang dihantar pulang setakat ini — Anwar
1,476 migran Myanmar dari Malaysia tiba di Thanlyin
Puluhan bas tiba di Lumut hantar pulang warga Myanmar
Malaysia gesa dunia kongsi tanggungjawab tangani krisis Rohingya










