POPULARITI Rizky Febian menerusi lagu-lagu seperti 'Kesempurnaan Cinta' dan 'Hingga Tua Bersama' menjadikan penyanyi Indonesia itu antara nama yang dekat dengan peminat muzik di Malaysia.
Selepas beberapa kemunculan sebelum ini, Rizky bakal kembali menemui peminat menerusi konsert 'Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur' pada 29 November 2026 di Zepp KL.
Dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia, konsert ini bakal menampilkan karya-karya yang cukup sinonim dengan Rizky, terutama lagu-lagu bertemakan cinta, kerinduan dan kehidupan.
Menerusi konsep 'Malam Rawan', peminat berpeluang menikmati lagu-lagu popular Rizky dalam suasana persembahan secara langsung. Gabungan melodi dan karakter vokalnya yang tersendiri dijangka memberikan pengalaman berbeza, terutama buat mereka yang sudah lama mengikuti karya penyanyi itu.
Bagi penyanyi berusia 28 tahun itu, peluang untuk kembali membuat persembahan di Kuala Lumpur cukup bermakna memandangkan Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muziknya. Sokongan peminat tempatan juga menjadi antara perkara yang dinantikan setiap kali dia berkunjung ke sini.
"Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.
"Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir," kata Rizky menerusi kenyataan mengenai konsert itu.
Satu pentas bersama Nadhif Basalamah
Selain Rizky, konsert ini turut menampilkan Nadhif Basalamah sebagai artis undangan. Penyanyi dan pencipta lagu dari Indonesia itu dikenali menerusi 'Penjaga Hati', sebuah karya yang mendapat perhatian pendengar muzik pop Indonesia.
Kehadiran Nadhif memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan dua penyanyi dengan identiti muzik tersendiri dalam satu persembahan. Dia juga tidak dapat menyembunyikan keterujaan untuk menjadi sebahagian daripada malam istimewa tersebut bersama Rizky.
"Saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada 'Malam Rawan' bersama Rizky Febian. Saya berharap dapat memberikan persembahan yang istimewa dan mencipta kenangan manis buat peminat yang hadir nanti," katanya.
Sepanjang kerjayanya, Rizky turut dikenali menerusi lagu seperti 'Penantian Berharga', 'Cuek', 'Makna Cinta' dan 'Terlukis Indah'. Karya-karya tersebut melengkapi senarai lagu popularnya yang terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar, sekali gus menjadikan kepulangannya ke Kuala Lumpur antara persembahan yang dinantikan peminat.
Sebelum ini, Rizky berkongsi pentas dengan Fabio Asher dan Anggi Marito menerusi konsert Malam 3 Suara di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 14 Disember 2025.
Tiket 'Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur' boleh didapati secara dalam talian menerusi Ticket2U dengan harga RM228 bagi kategori berdiri, RM238 untuk tempat duduk biasa dan RM248 bagi tempat duduk premium.










