SAMBUTAN luar biasa terhadap Kudrat 1968: High Council melonjakkan populariti Zarif Farahi Effie Ghazzi, atau lebih dikenali sebagai Zarif Ghazzi, sekali gus membuatkan namanya semakin dikenali peminat daripada pelbagai peringkat usia.
Perkembangan itu membawa pengalaman baharu buat pelakon asal Johor itu apabila semakin ramai peminat mula menunjukkan sokongan terhadap perjalanan seninya.
Bagaimanapun, Zarif sedar populariti tersebut turut hadir bersama tanggungjawab yang perlu dipikul.
Baginya, apabila semakin ramai orang mengenali dirinya, setiap tindakan dan tingkah laku perlu dijaga kerana bukan sahaja dirinya, malah keluarga dan orang sekeliling turut dikaitkan dengan nama yang dibawanya.
“Untuk menjadi seorang yang dikenali ramai, setiap perbuatan dan perilaku kita sentiasa ada mata-mata yang memerhati. Jadi, saya percaya ini semua tanggungjawab saya untuk menjaga nama saya, nama baik keluarga dan juga orang sekeliling saya,” kata Zarif ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Dua Nyawa pada Rabu.
Berkongsi pengalamannya berdepan peminat yang tentunya mempunyai pelbagai ragam, bintang muda berusia 22 tahun itu bersyukur kerana sokongan yang diterima setakat ini hadir dalam suasana yang menyenangkan.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana dapat berjumpa dengan peminat yang sangat menghormati saya. Bila berjumpa, mereka tidak keterlaluan. Saya harap semua orang dapat terus mengekalkan momentum ini, menyebarkan kasih sayang, aura positif dan perkara yang baik,” katanya.
Malah, Zarif mengakui dia sangat menghargai usaha peminat yang sanggup meluangkan masa untuk bertemu dengannya, termasuk menghadiri acara yang disertainya.
“Sejujurnya, saya sangat menghargai mereka yang sanggup bangun pagi, bersiap cantik-cantik dan pergi ke acara hanya untuk berjumpa dengan saya. Bagi saya, itu satu usaha. Saya suka orang yang menunjukkan usaha untuk datang berjumpa saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada populariti yang diterima membuatkan peminat lebih berani menghubunginya secara peribadi menerusi mesej langsung atau direct message (DM), Zarif berkata, setakat ini dia belum berdepan situasi sedemikian.
Mengakui dirinya jarang memeriksa telefon kerana sibuk dengan urusan kerja, Zarif bagaimanapun tetap mengambil maklum komen yang diterima di media sosial. Setakat ini, dia turut bersyukur kerana tidak menerima mesej atau komen yang keterlaluan berkaitan dirinya.
“Alhamdulillah, setiap DM saya hargai, sama ada positif mahupun negatif. Semuanya mengajar saya untuk menjadi lebih baik daripada diri saya yang sekarang. Jadi, sekali lagi, terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan kepada saya,” ujarnya.
Berguru di set penggambaran
Selain menerima perhatian peminat, populariti yang diraih turut membuka lebih banyak peluang untuk Zarif mengembangkan kerjayanya dalam bidang lakonan. Antaranya menerusi drama terbaharu iQIYI, Dua Nyawa, yang menemukan pelakon muda itu dengan barisan pelakon ternama tanah air.
Sebelum ini, Astro Shaw memperkenalkan Zarif sebagai antara teraju Kudrat 1968: High Council, yang ditampilkan menerusi siri empat episod mulai 11 September sebelum versi filemnya ditayangkan di pawagam.
Bagi Zarif, setiap hari di set penggambaran ibarat menghadiri kelas lakonan apabila dia berpeluang memerhatikan cara pelakon senior mengolah emosi dan menghidupkan watak.
“Setiap hari, setiap babak, setiap 'take' yang saya buat dalam drama Dua Nyawa memberikan pengalaman menarik kerana dapat berlakon bersama pelakon-pelakon senior ini.
“Saya tengok cara mereka macam duduk dalam kelas, pegang buku nota dan memerhatikan, ‘Oh, lakonan dia macam ini.’ Jadi, setiap hari saya datang ke set itu bagaikan menimba ilmu,” katanya.
Pada awalnya, Zarif mengakui berasa segan untuk mendekati pelakon senior. Namun, selepas berpeluang berinteraksi dengan mereka di set penggambaran, dia mendapati mereka sebenarnya mudah diajak berbual, merendah diri dan sedia berkongsi pengalaman.
Antara pelakon senior yang memberikan pengalaman bermakna kepadanya ialah Datuk Seri Eizlan Yusof.
“Pengalaman itu saya lalui bersama Datuk Eizlan Yusof sendiri. Dia sangat baik, sampai saya yang pada mulanya segan untuk mendekatinya. Sebenarnya, kalau kita ringan mulut untuk memulakan perbualan, mereka juga senang berbual dengan kita,” katanya.
Dua Nyawa merupakan drama 12 episod terbitan Global Station yang dijadual menemui penonton secara eksklusif di iQIYI mulai 13 November 2026.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
‘Dua Nyawa’ kupas realiti kehamilan usia muda dan harga sebuah keputusan
Hero drama, Jazmy Juma cuba nasib jual suara, akui gugup di pentas










