Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Bukan tak hargai, Aedy Ashraf akui kurang selesa terima hadiah

Pelakon Aedy Ashraf lebih gemar memberi hadiah kepada keluarga dan rakan, namun menghargai kasut pemberian Merqeen sempena hari lahirnya.

W
Wawan Wartawan Senior
November 13, 2026 • 11:38 AM 3 min read • 34 views
Bukan tak hargai, Aedy Ashraf akui kurang selesa terima hadiah

Aedy Ashraf pada pelancaran semula kios Cerruti 1881 di Putrajaya.

BUKAN semua orang selesa menerima hadiah, meskipun pemberian itu datang daripada insan terdekat. Bagi pelakon Aedy Ashraf, dia lebih gemar menjadi individu yang memberi, terutama apabila melibatkan keluarga dan rakan-rakan yang banyak memainkan peranan dalam perjalanan hidupnya.

Sikap itu bukan bermakna dia tidak menghargai pemberian orang lain. Sebaliknya, Aedy mengakui dirinya kurang selesa apabila menerima hadiah, malah keluarga dan rakan-rakan rapat sudah memahami kecenderungan tersebut sejak sekian lama.

Walaupun begitu, Aedy tetap menerima kasut pemberian Merqeen sempena hari lahirnya baru-baru ini, yang juga menjadi satu-satunya hadiah hari lahir diterimanya tahun ini.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

“Sebenarnya, saya tidak suka menerima hadiah. Rasanya, ini (kasut) satu-satunya hadiah hari jadi yang saya terima tahun ini. Semua orang tahu saya bukan jenis yang suka menerima hadiah. Bukan tidak menghargai, cuma saya kurang selesa.

“Kawan-kawan dan orang terdekat juga sudah memahami perkara itu dan tidak pernah menganggapnya sebagai satu masalah,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran semula kios Cerruti 1881 di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Aedy Ashraf bersama Merqeen, yang menghadiahkannya kasut sempena hari lahir.
Aedy Ashraf bersama Merqeen, yang menghadiahkannya kasut sempena hari lahir.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu mengakui lebih gemar memberi berbanding menerima, terutamanya ketika menyambut hari lahirnya.

Terbaharu, bintang filem Tarung: Unforgiven itu menghadiahkan sebuah kereta kepada ibu dan kakaknya.

Bagi Aedy, pengorbanan serta sokongan keluarga sepanjang membesar dan membina kerjaya tidak pernah dilupakan. Malah, dia menyedari kejayaan yang dikecapinya hari ini turut didorong oleh mereka yang sentiasa berada di sisinya.

Aedy Ashraf (tengah) pada pelancaran semula kios Cerruti 1881 di IOI City Mall, Putrajaya.
Aedy Ashraf (tengah) pada pelancaran semula kios Cerruti 1881 di IOI City Mall, Putrajaya.

“Ibu saya yang melahirkan saya, begitu juga kakak yang sentiasa bersama sepanjang perjalanan saya menjadi seorang manusia. Tanpa mereka, tanpa semangat dan sokongan mereka, saya tidak akan berada di sini.

“Sebab itu, saya rasa perlu beri mereka hadiah. Selama ini pun saya memang suka menghadiahkan sesuatu kepada mereka. Salah satu perkara yang saya lakukan ialah menghadiahkan ibu sebuah kereta supaya dia dapat bergerak ke mana-mana dengan lebih selesa,” jelasnya.

Usia 33 tahun penuh makna

Dalam perkembangan lain, Aedy yang kini berusia 33 tahun, menyifatkan usia ini sebagai fasa bermakna dalam kehidupannya.

Akuinya, sudah lama dia menantikan angka tersebut dan menyimpan beberapa sasaran untuk dicapai apabila tiba pada usia yang dianggap istimewa itu.

“33 ialah nombor kegemaran saya. Saya sudah lama menunggu untuk sampai ke usia ini kerana percaya usia 33 tahun merupakan antara kemuncak bagi seseorang manusia.

“Saya simpan beberapa perkara yang mahu dilakukan tahun ini. Alhamdulillah, walaupun bukan semuanya tercapai, saya sangat bersyukur dengan pencapaian sepanjang usia 33 tahun ini.

Aedy Ashraf ketika menyambut ulang tahun kelahirannya.
Aedy Ashraf ketika menyambut ulang tahun kelahirannya.

“Masih banyak lagi yang mahu dikejar dan saya ada impian serta matlamat untuk tahun depan,” katanya.

Menyentuh soal jodoh dan perkahwinan, Aedy tidak menafikan hasrat untuk membina keluarga sendiri, namun menyerahkan perkara itu kepada rezeki dan ketentuan Tuhan.

“Kalau ada rezeki, siapa yang tidak mahu berkahwin? Ia memang impian semua orang untuk mempunyai keluarga dan anak. Cuma, belum sampai rezeki saya.

“Saya tidak menetapkan tahun ini atau tahun depan mesti berkahwin. Saya lebih selesa mengikut perjalanan hidup dan melihat apa yang akan berlaku,” tegasnya.

Aedy turut bersyukur kerana ibunya tidak pernah mendesak atau memberi tekanan berhubung soal jodoh. Sebaliknya, wanita itu memahami keutamaan Aedy yang kini lebih tertumpu kepada kerjaya.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement