WASHINGTON, 13 November 2026 — Pentagon menghidupkan semula nama Office of Strategic Services (OSS) dengan menamakan semula pejabatnya yang menyelia operasi khas dan konflik berintensiti rendah.
Perubahan yang diumumkan pada Khamis waktu Amerika Syarikat (AS) itu memberi pejabat berkenaan kuasa langsung dalam urusan belanjawan dan perolehan bagi keperluan khusus operasi khas.
Menerusi memorandum yang dikeluarkan minggu lalu, Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth menaikkan kedudukan ketua pejabat itu ke taraf setara dengan setiausaha jabatan ketenteraan. Pejabat berkenaan akan menerima peruntukan semula sekurang-kurangnya AS$45 juta setahun dan 100 jawatan khusus untuk anggota tentera serta kakitangan awam, menurut kenyataan Pentagon.
Pejabat itu menjalankan fungsi pengawasan awam terhadap operasi khas dalam Pentagon. Cadangan perundangan sedang diusahakan untuk mewujudkan jawatan tetap Under Secretary of Strategic Services.
Peranan OSS semasa Perang Dunia Kedua
Presiden Franklin D. Roosevelt menubuhkan OSS pada 13 Jun 1942, beberapa bulan selepas AS menyertai Perang Dunia Kedua. Agensi itu menggantikan Office of the Coordinator of Information (COI), yang ditubuhkan pada 1941 untuk mengumpul dan menganalisis maklumat berkaitan keselamatan negara. Roosevelt melantik pegawai tentera dan veteran Perang Dunia Pertama, William J. Donovan untuk mengetuai OSS, menurut Muzium CIA.
Di bawah Donovan, OSS menghimpunkan beberapa fungsi dalam satu agensi. Penganalisisnya menilai maklumat dan menyediakan laporan perisikan untuk menyokong keputusan ketenteraan, manakala pegawai di lapangan mengumpul maklumat mengenai pihak lawan.
OSS turut menjalankan perisikan balas, operasi rahsia dan pembangunan peralatan untuk kegunaan pegawai di lapangan.
Peranan OSS turut merangkumi sokongan kepada gerakan penentangan tempatan di wilayah yang diduduki musuh. Agensi itu beroperasi di Eropah, Asia dan sekitar Mediterranean, dengan tugas yang merangkumi pengumpulan perisikan, operasi menyelamat dan sabotaj untuk menyokong usaha perang Bersekutu.
Pada bulan-bulan terakhir perang, pasukan OSS di China turut menjalankan misi perisikan dan menyelamat di wilayah yang diduduki Jepun.
Daripada OSS kepada CIA
Presiden Harry S. Truman membubarkan OSS berkuat kuasa 1 Oktober 1945 selepas perang berakhir. Fungsi penyelidikan dan analisisnya dipindahkan ke Jabatan Negara, manakala sebahagian fungsi perisikan rahsia dan perisikan balas ditempatkan di bawah Strategic Services Unit (SSU) dalam Jabatan Perang, menurut rekod sejarah CIA.
Pada 1946, Central Intelligence Group (CIG) mengambil alih tanggungjawab SSU. Akta Keselamatan Negara 1947 menubuhkan Agensi Perisikan Pusat (CIA), berkuat kuasa 18 September 1947, menurut Arkib Negara AS. Beberapa bekas pegawai OSS, termasuk Allen Dulles, Richard Helms, William Colby dan William Casey, kemudian mengetuai CIA.










