DARIPADA Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah hingga Sarawak, Sabah, Kelantan serta Terengganu, jersi lama mungkin semakin menawan apabila zaman terus berlalu.
Kalau ada mesin masa yang boleh membawa kita kembali ke era 1980-an dan 1990-an, ramai peminat bola sepak tempatan mungkin tahu apa yang mahu dicari terlebih dahulu.
Bukan telefon bimbit, kereta atau kaset lama tetapi jersi pasukan negeri yang pernah menjadi kebanggaan satu generasi.
Hari ini, ketika gambar bernuansa 80-an dan 90-an kembali memenuhi media sosial, nostalgia itu terasa semakin dekat.
Jersi yang dahulu dianggap biasa kini kelihatan ikonik, malah ada yang sanggup diburu dan dikumpul semula kerana setiap jersi membawa warna, cerita dan kenangannya sendiri.
Jadi, kalau diberi peluang membawa pulang satu jersi dari mesin masa itu, yang mana satu akan anda sarungkan?
Antara yang sukar diketepikan tentunya Selangor.
Jersi Gergasi Merah sekitar pertengahan 80-an mempunyai karakter yang cukup kuat. Rekaan Puma dengan kombinasi merah, kuning dan hijau serta corak melintang di bahagian dada menjadikannya antara kit yang paling mudah menghidupkan suasana bola sepak era tersebut.
Lebih istimewa, 1987 merupakan tahun terakhir legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari bersama Selangor.
Jadi apabila melihat kembali jersi berkenaan, kita bukan sekadar melihat sehelai pakaian lama, tetapi seolah-olah membuka semula satu halaman penting sejarah bola sepak negara.
Kuala Lumpur pula mempunyai cerita tersendiri
Era 80-an adalah zaman gemilang buat pasukan ibu negara apabila muncul juara Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989.
Maka, kit yang dipakai ketika itu datang bersama aura sebuah pasukan yang sedang berada di kemuncak.
Rekaan merah-putih dengan gaya 'old school' itu pula masih mempunyai daya tarikan walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu.
Kemudian kita bergerak ke utara. Kedah mempunyai satu kelebihan yang sukar dinafikan kerana hijau dan kuning sudah lama menjadi identiti pasukan itu. Apabila digabungkan dengan rekaan Puma era 1990-an, hasilnya benar-benar memberikan rasa bola sepak zaman tersebut.
Jersi Kedah 1996 misalnya mempunyai rupa yang cukup berbeza daripada kit moden. Potongannya lebih longgar, rekaannya lebih berani dan penggunaan warna yang terang menjadikannya mudah dikenali.
Perak juga tidak kurang menarik. Jersi kuning era 1990-an dengan jalur halus, kolar dan elemen hitam memberikan gambaran jelas tentang gaya rekaan kit pasukan negeri pada ketika itu.
Di Borneo, Sarawak pula mempunyai kisah nostalgia yang tersendiri.
Jersi merah yang pernah dipakai The Crocs pada era 1990-an cukup kuat identitinya. Warna merah yang dominan sahaja sudah mampu membuatkan penyokong lama teringat kepada satu tempoh penting dalam sejarah bola sepak Sarawak.
Lebih menarik, jersi lama Sarawak dari era tersebut masih menjadi buruan sesetengah pengumpul. Bukan semata-mata kerana nilainya tetapi kerana ia membawa kembali kenangan menyaksikan Sarawak beraksi ketika bola sepak negeri masih mempunyai pengaruh besar dalam kancah tempatan.
Era itu juga hadir bersama cerita di atas padang, termasuk kejayaan menjulang Piala FA pada 1992 sebelum muncul juara Liga Perdana pada 1997.
Sabah juga mempunyai koleksi nostalgia yang tidak kurang menarik. Jersi Adidas Sabah pada pertengahan 1990-an hadir dengan beberapa variasi yang menggambarkan betapa beraninya rekaan kit pada zaman tersebut.
Warna, corak dan potongannya mempunyai identiti tersendiri sebelum Sabah beralih kepada Nike pada penghujung dekad.
Bagi peminat di Pantai Timur pula, Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing mempunyai warna dan kenangan yang sukar dipisahkan.
Merah-putih Kelantan, hitam-putih Terengganu serta kuning-biru Pahang sudah cukup untuk membawa kita kembali kepada suasana stadium ketika Piala Malaysia masih menjadi acara wajib dalam kalendar peminat bola sepak negeri.
Mungkin itu yang membuatkan jersi retro begitu istimewa. Di sebalik setiap rekaan lama, ada kenangan yang pernah kita lalui bersamanya.
Ada yang mengingatkan kepada pemain pujaan. Ada yang membawa kembali memori menonton perlawanan bersama ayah. Ada pula yang mengimbau zaman sekolah ketika duit belanja dikumpul sedikit demi sedikit semata-mata mahu membeli jersi pasukan kesayangan.
Malah, ada jersi yang mungkin sudah hilang entah ke mana tetapi gambarnya masih tersimpan dalam album keluarga.
Sebab itu apabila trend retro kembali memenuhi media sosial, ia bukan sekadar soal mahu bergaya atau mengimbau fesyen lama.
Persoalannya sekarang, kalau mesin masa itu benar-benar wujud, jersi mana yang anda mahu bawa pulang ke zaman ini?