PADANG BESAR, 26 September — Mulai 1 Oktober, pesakit yang menggunakan Program Ubat Melalui Pos (UMP) tidak lagi perlu membayar kos penghantaran ubat mereka.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan menanggung caj itu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan peruntukan kira-kira RM5 juta bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan perkhidmatan tersebut di seluruh negara.
“Sebelum ini pesakit perlu membayar untuk penghantaran ubat melalui pos tetapi mulai 1 Okt ini, semua yang terlibat tidak lagi perlu membayar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Klinik Kesihatan Padang Besar pada Sabtu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ghazali Chik.
Fahmi sebelum ini pada Jun lalu menyatakan kerajaan merancang menanggung kos pos ubat bagi kira-kira 80,000 pesakit sebulan. UMP ialah perkhidmatan untuk pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu hadir ke kaunter farmasi bagi setiap pengambilan.
Portal MyUBAT KKM menyenaraikan fasiliti yang menawarkan UMP dan membolehkan pengguna memantau status penghantaran.