WASHINGTON, 2 November 2026 — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengulangi ancaman untuk menyerang kompleks Pickaxe Mountain di Iran, sambil mendakwa tenteranya mampu melaksanakan tindakan terhadap baki sasaran berkaitan program nuklear negara itu dalam tempoh singkat.
Bercakap kepada wartawan di kediamannya di Florida pada Sabtu, Trump menyebut masih terdapat satu atau dua tapak yang perlu ditangani, termasuk kompleks bawah tanah berkenaan.
“Kita mungkin boleh melihat Pickaxe Mountain, dan perkara itu perlu ditangani. Kita boleh melakukan semuanya dengan sangat cepat,” kata Trump dipetik dari laporan NDTV.
Trump turut mendakwa tindakan terhadap baki tapak tersebut boleh dilakukan dalam “10 minit”, namun tidak mengumumkan waktu serangan.
Apabila ditanya sama ada AS akan kembali menyerang Iran seawal minggu ini, beliau enggan mendedahkan rancangan ketenteraan, menurut laporan itu.
Pickaxe Mountain merupakan kompleks yang diperkukuh jauh di bawah tanah berhampiran kawasan nuklear Natanz. Lokasi itu pernah disebut Trump sebagai antara sasaran yang mungkin diserang bagi menghalang Iran memperoleh senjata nuklear, menurut The Straits Times dan Reuters.
Sebelum ini, dalam wawancara dengan Newsmax yang dilaporkan Reuters pada 16 Oktober, Trump berkata AS mungkin perlu menyasarkan Pickaxe Mountain.
Bagaimanapun, beliau ketika itu menolak penggunaan senjata nuklear dan menyatakan tindakan sedemikian tidak diperlukan. Trump turut berkata beliau tidak mempertimbangkan penghantaran tentera darat AS ke Iran.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Iran ancam sasar infrastruktur AI jika diserang semula - CNN
Pentagon arah CENTCOM siap sedia operasi besar terhadap Iran
Giliran USS Theodore Roosevelt ke Timur Tengah, Trump pertimbang serangan semula ke atas Iran








