WASHINGTON, 8 Oktober 2026 — Pentagon dilaporkan mengarahkan Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melengkapkan persediaan untuk menyambung operasi tempur besar terhadap Iran, menurut pegawai Amerika Syarikat yang dipetik Axios.
Arahan itu dilaporkan diberikan beberapa hari lalu. Bagaimanapun, tarikh serangan belum ditetapkan dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump belum membuat keputusan muktamad sama ada operasi berkenaan akan diteruskan.
Anadolu turut melaporkan bahawa Rumah Putih meminta Pentagon menyediakan pilihan serangan terhadap sasaran Iran yang boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November.
Saiz operasi, sasaran dan keputusan sama ada serangan akan dilancarkan masih dibincangkan, menurut laporan The Atlantic yang dipetik agensi berita itu.
“Tugas jabatan ini adalah membangunkan dan membentangkan pilihan ketenteraan kepada presiden,” kata seorang pegawai Pentagon dipetik dari Anadolu.
Ditanya lebih lanjut, pegawai berkenaan tidak mengesahkan atau menafikan laporan mengenai rancangan serangan tersebut.
Menurut Anadolu, seorang pegawai Rumah Putih pula memberitahu The Atlantic bahawa Trump mempunyai semua pilihan pada bila-bila masa, tanpa menjelaskan waktu kemungkinan serangan.
Sebelum ini, Associated Press pada 1 Oktober melaporkan penghantaran satu lagi kumpulan tempur kapal pengangkut pesawat ke Timur Tengah, ketika Trump mempertimbangkan kemungkinan menyambung serangan terhadap Iran.
Dalam perkembangan penempatan aset, USNI News pada 5 Oktober melaporkan USS Theodore Roosevelt sedang merentasi Lautan Pasifik ke arah barat. USS George Washington pula beroperasi di Laut Arab bagi menyokong operasi Amerika Syarikat terhadap Iran.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Giliran USS Theodore Roosevelt ke Timur Tengah, Trump pertimbang serangan semula ke atas Iran










