KUALA LUMPUR, 5 November 2026 — Sebanyak 5,862 kes keganasan rumah tangga direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menunjukkan isu itu terus memerlukan perhatian serius dan tindakan bersepadu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sepanjang 2025, jumlah kes meningkat 3.9 peratus kepada 7,391 berbanding 7,116 pada 2024.
“Di sebalik setiap angka itu ada individu dan keluarga termasuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, sokongan dan pemulihan,” kata Nancy.
Beliau berucap pada Simposium Pengukuhan Polisi Kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga: Mendepani Cabaran dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan di sini pada Khamis.
Nancy menjelaskan bahawa keganasan rumah tangga merangkumi penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, ugutan, sekatan pergerakan, kerosakan harta benda serta kawalan kewangan.
Perkembangan teknologi digital turut membuka ruang kepada pengawasan, gangguan dan ugutan terhadap mangsa, yang boleh meninggalkan kesan emosi berpanjangan.
Menurut RTM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh usaha menangani isu itu menerusi Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) 2026–2030.
Pendekatannya meliputi pencegahan, intervensi awal, perlindungan dan pemulihan mangsa, bukan hanya tindakan selepas kejadian berlaku.
Antara inisiatif yang digerakkan ialah Program Wonderful Life oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), program advokasi kesejahteraan wanita dan keganasan rumah tangga serta Program Sukarelawan Skuad WAJA oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Nancy menegaskan usaha membanteras keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama merentas kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat.
Simposium itu menghimpunkan pihak berkepentingan serta pemandiri untuk mengenal pasti cabaran dan menambah baik mekanisme sokongan. Siri pertama berlangsung di Kuala Lumpur hingga Jumaat, manakala siri kedua dijadualkan di Kelantan pada pertengahan bulan ini.
Artikel Berkaitan Terdahulu:








