KUALA LUMPUR, 5 November 2026 — Sebanyak 13 acara pingat e-sukan diluluskan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA ke-34 di Malaysia pada 2027, sekali gus mencatatkan jumlah terbesar dalam sejarah penyertaan sukan elektronik pada temasya dwitahunan itu.
Jumlah berkenaan meningkat lebih dua kali ganda berbanding enam acara yang dipertandingkan pada edisi Thailand, Disember 2025.
Senarai acara itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Bilangan 3 (2025-2027) pada 30 Oktober lalu, yang dipengerusikan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr Nur Azmi Ahmad.
Mesyuarat yang dihadiri wakil negara anggota menerusi sidang dalam talian itu tidak menerima sebarang bantahan berhubung pemilihan acara berkenaan.
Mesyuarat sama meluluskan keseluruhan 473 acara daripada 43 jenis sukan untuk dipertandingkan sepanjang temasya yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 di empat kluster iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
11 acara lelaki, dua wanita
Program e-sukan kali ini merangkumi 11 acara lelaki dan dua acara wanita tanpa kategori campuran.
Antara permainan yang disenaraikan ialah eFootball Mobile, Honor of Kings, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, PUBG PC, Arena of Valor, Identity V dan Gran Turismo 7.
Dua acara E-Racing Track Solo dan E-Racing Track Duo turut diluluskan, namun permainan yang akan digunakan bagi kedua-dua kategori itu masih belum diumumkan.
Perubahan paling ketara bagi edisi 2027 ialah senarai permainan yang dipertandingkan apabila dua judul popular, Free Fire dan FC Online, tidak lagi disenaraikan.
Pada edisi Bangkok sebelum ini, empat permainan dipertandingkan menerusi enam acara iaitu MLBB, Arena of Valor, Free Fire dan FC Online.
Bagaimanapun, hanya MLBB dan Arena of Valor dikekalkan bagi edisi akan datang, manakala acara wanita Arena of Valor turut digugurkan.
Honor of Kings, PUBG Mobile, MLBB, Identity V, Gran Turismo 7 dan eFootball antara permainan yang pernah menjadi sebahagian daripada program 11 judul e-sukan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada temasya Aichi-Nagoya.
Pertindihan itu membolehkan negara peserta memanfaatkan pengalaman serta barisan pemain yang pernah beraksi di pentas Sukan Asia untuk menghadapi saingan di Malaysia.
PUBG versi komputer peribadi (PC) turut menjadi antara penambahan menarik apabila bakal membuat penampilan sulung dalam sejarah Sukan SEA.
Selain itu, Identity V, permainan seram berkonsepkan pertempuran asimetri terbitan NetEase, turut disenaraikan buat kali pertama, namun setakat ini hanya dalam kategori lelaki.
Rekod baharu sejak 2019
Dengan 13 acara dipertandingkan, Sukan SEA 2027 bakal mencatatkan rekod baharu bagi program e-sukan sejak ia diperkenalkan pada edisi 2019 di Filipina.
Ketika itu, Filipina menawarkan enam acara pingat sebelum jumlah berkenaan meningkat kepada 10 pada edisi 2021 di Hanoi yang berlangsung pada 2022.
Kemboja kemudian mempertandingkan sembilan acara pada 2023, sebelum Thailand mengurangkannya kepada enam pada Disember 2025.
Pada edisi lalu, Thailand dan Vietnam berkongsi kedudukan teratas carta pingat e-sukan dengan masing-masing meraih dua emas dan satu perak.
Vietnam menyapu bersih kedua-dua gelaran Arena of Valor, manakala tuan rumah Thailand memenangi acara Free Fire dan FC Online.
Bagaimanapun, tiga daripada empat acara yang menyumbang pingat emas kepada kedua-dua negara itu tidak lagi dipertandingkan pada edisi 2027.
Peluang Malaysia pertahan emas wanita
Filipina dan Malaysia pula berpeluang mempertahankan kejuaraan masing-masing dalam acara yang dimenangi sebelum ini.
Filipina menewaskan Malaysia 4-0 pada final MLBB lelaki untuk meraih emas keempat berturut-turut.
Malaysia bagaimanapun mencipta sejarah dalam acara wanita apabila menewaskan Filipina 4-3 untuk merangkul gelaran pertama negara dalam kategori berkenaan.
Indonesia yang pernah memenangi emas acara berpasukan PUBG Mobile pada edisi 2021 dan 2023 turut berpeluang kembali memburu kejuaraan selepas gagal meraih emas e-sukan di Bangkok.
Thailand pula hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan PUBG Mobile Sukan Asia selepas memenangi pingat emas pada temasya Aichi-Nagoya, September lalu.
Status sebagai juara bertahan MLBB wanita juga menjadi kelebihan buat Malaysia, sekali gus meletakkan usaha mempertahankan gelaran itu antara tumpuan pada temasya berkenaan.








