SEJAUH mana manusia sanggup mengembara demi mendapatkan sesuatu yang diinginkan? Persoalan itu menjadi antara tarikan teater Raja Ahmad Bujang dan Merbuk Hijau yang bakal dipentaskan di Auditorium Utama, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan pada 6 dan 7 November 2026.
Menggabungkan unsur fantasi, pengembaraan dan misteri, pementasan arahan Yusry Kamaruzaman itu mengajak penonton menyelami makna ilmu, adab, keluarga serta pengalaman yang membentuk kehidupan seseorang.
Menurut Yusry, kekuatan naskhah berkenaan terletak pada persoalannya yang masih dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini meskipun berlatarkan cerita rakyat.
“Saya tertarik untuk mengangkat karya ini kerana saya percaya cerita yang baik tidak pernah lapuk oleh zaman. Yang berubah hanyalah cara kita menyampaikannya kepada generasi baharu,” katanya.
Menggunakan skrip tulisan Milyana Arshad, teater itu menelusuri perjalanan Raja Ahmad Bujang merentasi hutan, alam ghaib dan pelbagai cabaran sebelum akhirnya menjadi Raja Muda.
Di sebalik pengembaraan tersebut, kehadiran Merbuk Hijau menjadi pencetus konflik yang membawa watak utamanya mengenali kehidupan dengan lebih mendalam.
Bagi Yusry, burung itu mempunyai makna tersendiri, mewakili sesuatu yang indah, misteri dan sukar dimiliki.
“Merbuk Hijau boleh dilihat sebagai lambang kepada keinginan manusia untuk mencari sesuatu yang berada di luar jangkauan dirinya.
“Kadangkala dalam kehidupan, sesuatu yang kita kejar bukanlah pengakhiran yang paling penting. Sebaliknya, perjalanan untuk mendapatkannya itulah yang membentuk diri kita,” jelasnya.
Menyentuh pendekatan pengarahan, Yusry menegaskan elemen fantasi perlu membantu penceritaan supaya mesej utama dapat dirasai penonton.
Katanya, setiap elemen visual, watak dan perjalanan yang ditampilkan mempunyai peranan dalam mengangkat nilai ilmu, menjaga adab serta mengingatkan penonton terhadap kepentingan keluarga dan asal-usul.
“Dalam setiap pengembaraan, ada ilmu yang diperoleh. Dalam setiap pertemuan, ada adab yang perlu dijaga. Dalam setiap cabaran, ada pengalaman yang membentuk seseorang.
“Dan dalam perjalanan sejauh mana pun seseorang pergi, keluarga dan asal-usul tetap menjadi sesuatu yang penting,” ujarnya.
Beliau berharap penonton membawa pulang sesuatu untuk direnungkan selepas menyaksikan pementasan itu.
“Harapan saya, apabila penonton keluar dari panggung nanti, mereka turut membawa pulang satu persoalan: ‘Apakah yang saya pelajari daripada perjalanan Raja Ahmad Bujang?’” katanya.
Pementasan anjuran Pertubuhan Teater Hidayah itu mendapat sokongan JKKN Negeri Sembilan dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta melalui Geran Sokongan Sektor Kerajaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Masyarakat umum, pelajar, institusi pendidikan, penggiat seni serta pencinta budaya dipelawa menyaksikan pementasan yang mengetengahkan warisan melalui pendekatan teater untuk pelbagai generasi itu.


