LIMA bulan melayari kehidupan sebagai suami, penyampai radio ERA, Radin, mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga.
Namun, antara perkara paling disyukuri ialah penerimaan baik tiga anak tiri yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Selepas lebih 36 tahun menjalani kehidupan sebagai lelaki bujang, dia mengakui peralihan tersebut memerlukan banyak penyesuaian, khususnya dalam menguruskan masa dan membuat keputusan yang kini turut melibatkan isteri serta anak-anak.
Malah, sebelum berkahwin, pemilik nama lengkap Radin Amir Affendy itu sudah menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa, namun memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharu.
Sepanjang tempoh itu, isterinya, Nur Amirah Shamsulbahrin, banyak memberi sokongan dan memahami jadual kerja yang tidak menentu, selain komitmen lain di luar tugasnya di radio.
Bercerita mengenai hubungan dengan tiga anak tiri berusia 12, 11 dan sembilan tahun, Radin yang juga pengacara itu bersyukur kerana kehadirannya diterima dengan hati terbuka. Penerimaan tersebut juga sedikit sebanyak memudahkannya membina hubungan lebih rapat dengan mereka.
"Saya rasa sangat bertuah dikurniakan tiga orang anak yang begitu baik dan mengagumkan. Setakat ini, mereka menerima saya seadanya. Itulah perkara yang paling saya syukuri," katanya kepada Nusa Times.
Sikap terbuka anak-anak turut memudahkannya menjalani fasa baharu sebagai seorang bapa. Walaupun masih baharu dengan tanggungjawab itu, Radin tidak mengelak daripada menegur atau mendidik anak-anak apabila perlu.
Bagaimanapun, dia mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari memandangkan belum pernah melalui pengalaman membesarkan anak sebelum ini.
Justeru, pandangan isteri menjadi rujukan penting, terutama apabila dia kurang pasti sama ada pendekatan yang digunakan sesuai untuk anak-anak.
"Kadang-kadang ada perkara yang saya lakukan atau tegur kepada anak-anak. Selepas itu, saya akan tanya isteri, 'Betul ke apa yang saya buat tadi? Anak-anak okey ke?'" ujarnya.
Bimbingan Nur Amirah membantu memastikan setiap teguran dibuat dengan mengambil kira keperluan dan perasaan anak-anak, sekali gus memberinya keyakinan dalam menjalankan peranan sebagai bapa.
Belajar daripada anak-anak
Menariknya, proses mengenali anak-anak turut mengajarnya tentang kepentingan komunikasi secara terbuka. Personaliti media itu melihat sikap anak-anak yang tidak keberatan menyuarakan perasaan sebagai sesuatu yang boleh dicontohi, berbeza dengan kebiasaan dirinya yang lebih gemar menyimpan perasaan atau bercakap secara berlapik.
"Kalau suka, mereka akan cakap suka. Kalau tidak suka, mereka juga akan berterus terang. Daripada situ saya belajar bahawa kita perlu meluahkan apa yang dirasakan," katanya.
Radin turut menyedari bahawa janji kepada anak-anak bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Jika tidak mampu menunaikannya, lebih baik berterus terang daripada membiarkan mereka terus berharap.
Baginya, kepercayaan dalam keluarga bukan hanya dibina melalui kasih sayang, tetapi juga kejujuran dan kesungguhan menepati komitmen.
Menyentuh soal perancangan untuk menimang cahaya mata sendiri, Radin dan isteri tidak menetapkan sebarang tempoh khusus. Mereka memilih untuk menyerahkan soal rezeki kepada ketentuan Allah, apatah lagi dia sudah berasa bahagia dengan kehadiran tiga anak yang ada sekarang.
"Jika ada rezeki, adalah. Jika belum ada pun, saya sudah bahagia dengan tiga orang anak ini. Sekiranya dikurniakan seorang atau dua orang lagi, saya pastinya bersyukur dan menerimanya dengan hati terbuka, insya-Allah," katanya.
Bagi Radin, kehadiran anak-anak juga menjadi sebahagian daripada perubahan besar dalam kehidupannya selepas berkahwin. Keutamaan kini bukan lagi tertumpu kepada diri sendiri, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan isteri dan anak-anak, termasuk dalam soal kewangan serta pengurusan masa.
Justeru, dia melihat sikap bertolak ansur, saling memahami dan berbincang sebagai asas penting untuk memastikan setiap tanggungjawab dapat dipikul bersama.


