BANGKOK, 31 Oktober 2026 — Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri e-sukan apabila dinobatkan sebagai Permainan E-sukan Mudah Alih Terbaik Tahun Ini pada GamingonPhone Awards 2026, sekali gus meraih pengiktirafan itu buat kali kelima.
Menurut kenyataan MOONTON Games, dalam majlis sama, pasukan Perhubungan Awam (PR) MOONTON Games turut dinobatkan sebagai Pasukan PR/Pemasaran Terbaik Tahun Ini buat kali kedua.
Kedua-dua anugerah itu mengiktiraf pencapaian berbeza, dengan kejayaan kelima MLBB mencerminkan perkembangan berterusan permainan berkenaan sebagai judul kompetitif di peringkat global.
Sementara itu, pengiktirafan kepada pasukan PR/Pemasaran MOONTON Games diberikan atas kreativiti, strategi dan impak pasukan itu dalam meningkatkan jenama permainan mudah alih, pelancaran produk serta kempen pemasaran.
Pengiktirafan berkenaan hadir ketika MLBB meraikan ulang tahun ke-10 menerusi kempen global ALL IN MLBB yang menghargai pemain, komuniti, pencipta kandungan dan bakat e-sukan yang berkembang bersama permainan itu sepanjang sedekad lalu, selain mengajak mereka menyertai fasa seterusnya.
Bermula dari Asia Tenggara, MLBB kini berkembang menjadi permainan dan platform e-sukan global dengan lebih 1.5 bilion pemasangan serta 110 juta pengguna aktif bulanan di lebih 80 negara.
Sambutan ulang tahun itu turut menyaksikan pelbagai aktiviti, termasuk penambahbaikan hero, ganjaran dalam permainan dan penceritaan yang mengetengahkan pengalaman pemain, selain sambutan luar talian yang disesuaikan mengikut pasaran tempatan di 10 negara merentasi tiga benua.
Ketua Perhubungan Awam Luar Negara MOONTON Games, Marcus Lim berkata, kejayaan meraih anugerah berkenaan buat kali kelima hadir pada waktu tepat ketika MLBB menyambut ulang tahun ke-10.
“Sedekad lalu menjadi bukti sokongan pemain, pasukan, pencipta kandungan, rakan kerjasama dan media yang terus bersama kami serta membantu perkembangan permainan ini.
“Kami terus berkembang bukan sahaja sebagai ekosistem yang dikenali di seluruh dunia, malah sebagai platform yang membolehkan penyertaan global,” katanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GamingonPhone, Tousif Hasan Biswas berkata, kejayaan MOONTON Games mencerminkan pengaruh syarikat itu dalam industri permainan mudah alih.
"Ia termasuk membangunkan ekosistem e-sukan yang berjaya, memperkukuh komuniti serta menawarkan pengalaman yang dekat dengan pemain di seluruh dunia," katanya.
Menurutnya, anugerah itu turut mengiktiraf sumbangan individu dan pasukan yang bekerja di belakang tabir dalam memajukan industri berkenaan.
Kejayaan MLBB meraih anugerah berkenaan buat kali kelima turut menyusuli beberapa pencapaian besar di peringkat antarabangsa sepanjang tahun ini.
Menurut data Esports Charts, Kejohanan Dunia M7 mencatat sejarah sebagai kejohanan e-sukan mudah alih paling banyak ditonton, dengan jumlah penonton serentak tertinggi mencecah 5.68 juta.
Selain itu, MLBB Mid Season Cup (MSC) dan MLBB Women’s International (MWI) membuat penampilan sulung di Eropah menerusi Esports World Cup (EWC) di Paris. MLBB turut membuat penampilan sulung sebagai acara perebutan pingat pada Sukan Asia.
Kejohanan Dunia M8 pula bakal membawa siri M ke Eropah buat kali pertama apabila peringkat akhir dijadual berlangsung di Istanbul, Türkiye, pada Januari 2027.
Majlis anugerah itu turut mengiktiraf Team Spirit sebagai Pasukan E-sukan Mudah Alih Terbaik Tahun Ini susulan kejayaan bersejarah pasukan berkenaan menjuarai MSC di EWC 2026, Paris.
Team Spirit menjadi pasukan pertama dari luar Asia Tenggara yang memenangi kejohanan utama antarabangsa rasmi MLBB, sekali gus membuktikan persaingan dalam ekosistem global permainan itu semakin sengit dan meluas.
GamingonPhone Awards 2026 berlangsung di Thailand, antara pasaran penting dalam perkembangan global MLBB.
Thailand dijangka terus memainkan peranan dalam perkembangan ekosistem berkenaan apabila menjadi tuan rumah beberapa kejohanan utama akan datang, termasuk MLBB Southeast Asia Championship Tour (MCT SEA) dan M8 Wild Card pada Disember 2026.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
MESF umum barisan atlet negara ke Kejohanan Dunia E-sukan 2026










