FINLAND, 27 Oktober 2026 — Bekas pemain profesional Fnatic dan juara dunia pertama League of Legends, Lauri “Cyanide” Happonen, meninggal dunia pada usia 31 tahun.
Menurut laporan media Finland, Ilta-Sanomat yang dipetik oleh penyiar Yle, Cyanide meninggal dunia pada 31 Julai lalu. Media itu melaporkan kematiannya pada Isnin selepas menerima pengesahan daripada Agensi Perkhidmatan Data Digital dan Kependudukan Finland.
Punca kematian bekas pemain posisi jungler itu tidak didedahkan kepada umum.
Fnatic turut menzahirkan dukacita dan mengenang pencapaian Cyanide sepanjang empat tahun bersama organisasi itu.
“Cyanide mencipta sejarah sebagai pemain termuda yang memenangi Worlds pada usia hanya 16 tahun. Dia meninggalkan legasi yang tidak akan dilupakan,” menurut kenyataan Fnatic yang turut dilaporkan Inven Global.
Cyanide membantu Fnatic menjuarai Kejohanan Dunia League of Legends edisi sulung pada 2011 ketika berusia 16 tahun, sekali gus menjadi pemain termuda yang meraih gelaran tersebut.
Beliau merupakan anggota kedua skuad Fnatic yang menjuarai kejohanan dunia 2011 meninggal dunia, selepas Maciej “Shushei” Ratuszniak yang meninggal dunia pada April 2025 ketika berusia 36 tahun akibat kanser.
Cyanide turut bergandingan dengan Paul “sOAZ” Boyer, Enrique “xPeke” Cedeño Martínez dan Bora “YellOwStaR” Kim ketika Fnatic membina kedudukannya dalam saingan Eropah.
Gabungan pemain itu membantu Fnatic meraih tiga gelaran European League of Legends Championship Series (EU LCS) antara 2013 hingga 2014. Cyanide meninggalkan Fnatic pada Disember 2014 sebelum dikaitkan dengan pasukan Origen dan kemudian mengundurkan diri daripada persaingan profesional.
Selepas tidak lagi beraksi secara tetap di pentas profesional, Cyanide menyertai perlawanan persahabatan EU LCS Classic Showmatch sempena acara Roadtrip Karmine Corp di Perancis pada 25 Julai 2026, enam hari sebelum tarikh kematiannya yang dilaporkan.
Rakan sepasukan kenang keperibadian Cyanide
Berita pemergian Cyanide turut mencetuskan ucapan takziah daripada pemain, jurulatih dan komuniti League of Legends menerusi media sosial.
Bekas rakan sepasukannya, YellOwStaR menyifatkan mendiang sebagai seorang sahabat yang jauh lebih bermakna daripada sekadar rakan sepasukan selepas mereka berkongsi kehidupan harian selama lebih dua tahun setengah.
“Lauri jauh lebih daripada sekadar rakan sepasukan,” kata YellOwStaR menerusi hantaran di X, seperti dilaporkan Dexerto.
Beliau turut mengenang Cyanide sebagai individu yang baik hati dan ikhlas, selain masih mempunyai impian dan rancangan untuk masa depan ketika mereka bertemu semula pada perlawanan persahabatan Julai lalu.
Ketua jurulatih Fnatic, Fabian “GrabbZ” Lohmann turut menyifatkan Cyanide sebagai antara individu yang membantu membentuk landskap awal e-sukan. Menurutnya, ramai peminat mula mengenali permainan itu dan arena kompetitifnya hasil sumbangan pemain seperti Cyanide.
Pemain League of Legends dari Sepanyol, Antonio “Th3Antonio” Espinosa turut menzahirkan dukacita, sambil mengenang ketika beliau menonton video Cyanide bersama xPeke sewaktu kedua-duanya mewakili Fnatic.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










