NIAT sekadar berkongsi detik gembira bersama keluarga di media sosial boleh bertukar menjadi risiko keselamatan apabila hantaran mendedahkan lokasi, rutin harian atau tempoh rumah ditinggalkan.
Perkongsian gambar percutian, tiket penerbangan, lokasi kediaman secara langsung, malah rutin harian keluarga mungkin kelihatan seperti perkara biasa bagi pengguna media sosial.
Namun, di sebalik setiap hantaran itu, tersimpan maklumat berharga yang berpotensi dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi merancang kegiatan jenayah.
Menurut hebahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkongsian sedemikian tanpa disedari boleh mendedahkan maklumat berkaitan pergerakan, lokasi serta keadaan kediaman seseorang kepada pihak yang tidak dikenali.
Antara perkara yang sering dikongsi secara terbuka termasuk maklumat perjalanan pulang ke kampung, gambar bagasi ketika bercuti, pas masuk pesawat, selain perkongsian lokasi rumah secara langsung.
Lebih membimbangkan apabila ada pengguna memaklumkan secara terbuka bahawa kediaman mereka tidak berpenghuni sehingga tarikh tertentu.
Perkongsian seperti itu boleh memberi petunjuk kepada penjenayah bahawa sesebuah rumah berkemungkinan ditinggalkan untuk tempoh tertentu, sekali gus meningkatkan risiko menjadi sasaran kegiatan pecah rumah.
Malah, gambar nombor rumah, kunci, pintu masuk dan keadaan persekitaran kediaman juga boleh memberikan maklumat tambahan kepada pihak yang berniat melakukan jenayah.
Rutin keluarga boleh dikenal pasti
Tidak terhad kepada maklumat kediaman, rutin harian ahli keluarga yang dikongsi secara konsisten turut berpotensi mendedahkan corak kehidupan seseorang.
Misalnya, hantaran mengenai waktu keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah, aktiviti hujung minggu atau perjalanan pulang ke rumah boleh membantu pihak tidak bertanggungjawab memahami pergerakan sesebuah keluarga.
Dalam era digital yang menyaksikan perkongsian maklumat berlaku dengan pantas, pengguna perlu memahami bahawa setiap hantaran mempunyai implikasi terhadap keselamatan diri dan keluarga.
Apa yang dianggap sebagai perkongsian biasa oleh pemilik akaun mungkin menjadi sumber maklumat kepada penjenayah yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan.
Lebih penting, pengguna perlu menyedari bahawa tetapan akaun peribadi atau jumlah pengikut yang terhad tidak semestinya menjamin maklumat dikongsi kekal dalam lingkungan kenalan sahaja.
Gambar dan maklumat yang dimuat naik masih berisiko disalin, dirakam atau disebarkan semula tanpa pengetahuan pemilik asal.
Semak sebelum berkongsi
Justeru, langkah paling mudah ialah mengamalkan sikap berhati-hati sebelum menekan butang kongsi.
Sebelum memuat naik gambar atau video, semak sama ada kandungan itu mendedahkan alamat, dokumen perjalanan atau rutin ahli keluarga.
Sebagai contoh, gambar percutian lebih selamat dimuat naik selepas pulang ke rumah berbanding berkongsi lokasi secara langsung ketika kediaman ditinggalkan.
Begitu juga maklumat perjalanan, tiket penerbangan, nombor rumah dan butiran keselamatan kediaman yang tidak sepatutnya didedahkan secara terbuka.
Hakikatnya, keselamatan bukan hanya bergantung kepada kunci pagar, kamera litar tertutup atau sistem penggera di rumah, sebaliknya turut bermula daripada cara seseorang menguruskan maklumat peribadi di alam maya.
Pengguna media sosial perlu lebih bijak membezakan antara perkara yang sesuai dikongsi dengan maklumat yang sepatutnya kekal sebagai privasi.
Ini kerana dalam dunia digital, sesuatu yang dimuat naik untuk tatapan rakan dan keluarga boleh menjadi sumber maklumat kepada pihak yang mempunyai niat jenayah.
Jangan sampai keghairahan berkongsi kehidupan peribadi menjadikan kita sendiri mata dan telinga kepada penjenayah.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Iklan kenderaan murah jadi umpan, scammer lesap bersama wang


