Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Banjir kilat semakin menjadi kebiasaan, adakah kita sedang belajar untuk hidup dengannya?

Banjir kilat yang berulang di Lembah Klang menimbulkan persoalan tentang kapasiti saliran, pembangunan bandar dan kos pemulihan.

N
Norhayati Wartawan Senior
November 12, 2026 • 3:23 PM 6 min read • 27 views
Banjir kilat semakin menjadi kebiasaan, adakah kita sedang belajar untuk hidup dengannya?

Gambar hiasan: Air banjir mengelilingi bangunan dan jalan.

SETIAP kali hujan lebat melanda Kuala Lumpur dan Selangor, kejadian banjir kilat seolah-olah menjadi satu lagi perkara yang sudah dijangka. Ada jalan yang mula dinaiki air, kenderaan terkandas, premis perniagaan dimasuki air dan penduduk sekali lagi terpaksa berdepan situasi sama.

Lebih membimbangkan, ada kawasan yang berulang kali mengalami kejadian serupa setiap kali hujan lebat. Persoalannya, mengapa masalah ini masih sukar ditangani sedangkan pembangunan bandar semakin pesat dan pelbagai usaha mengatasi banjir sudah dilaksanakan?

Hakikatnya, isu banjir kilat tidak boleh dilihat semata-mata sebagai kesan hujan lebat atau perubahan cuaca. Pembangunan pesat, perubahan guna tanah, sistem perparitan, penyelenggaraan saliran serta kehilangan kawasan hijau juga antara faktor yang perlu diberikan perhatian.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Pembangunan pesat, tetapi sistem saliran mampu bertahan?

Persoalan ini bukan sekadar andaian. Laporan media bertarikh 9 Mei 2026 memetik pandangan pakar bahawa majoriti sistem perparitan di Lembah Klang dibina berdasarkan data taburan hujan 30 hingga 40 tahun lalu.

Pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, sistem saliran lama dibina berdasarkan kapasiti ketika pembangunan bandar dan kepadatan penduduk masih rendah berbanding keadaan sekarang.

Gambar hiasan: Pemandangan udara kawasan perumahan yang dinaiki air.
Gambar hiasan: Pemandangan udara kawasan perumahan yang dinaiki air.

Keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila saliran yang sempit, cetek dan tidak diselenggara dengan baik gagal menampung aliran air ketika hujan lebat berintensiti tinggi.

Dalam laporan sama, pakar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Haryati Shafii turut mengaitkan peningkatan kawasan konkrit dan berturap dengan pertambahan air larian permukaan.

Apabila semakin banyak kawasan dilitupi konkrit, air hujan mempunyai ruang yang semakin terhad untuk meresap ke dalam tanah. Akibatnya, air lebih cepat mengalir ke kawasan rendah dan membebankan sistem saliran sedia ada.

Persoalannya, adakah pembangunan bandar bergerak lebih pantas berbanding keupayaan infrastruktur untuk menampung perubahan tersebut?

Masalah cuaca atau kesan aktiviti manusia?

Dalam membincangkan isu banjir kilat, perubahan iklim sering menjadi antara faktor yang disebut. Namun, adakah wajar semua kejadian banjir dikaitkan dengan hujan luar biasa semata-mata?

Gambar hiasan: Hujan lebat mengenai permukaan air.
Gambar hiasan: Hujan lebat mengenai permukaan air.

Bernama pada 26 November 2025 melaporkan penjelasan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang, bahawa kejadian banjir turut dipengaruhi faktor muka bumi, perubahan guna tanah, kepadatan penduduk dan keberkesanan sistem saliran setempat.

Menurut beliau, pembangunan pesat dan perubahan bentuk muka bumi boleh menyebabkan kesan berbeza walaupun jumlah hujan yang diterima adalah sama. Ini menunjukkan bahawa risiko banjir bukan hanya bergantung kepada berapa banyak hujan yang turun, tetapi juga bagaimana sesuatu kawasan diuruskan dan dibangunkan.

Malah, kehilangan kawasan hijau, perubahan laluan air semula jadi serta pembangunan yang tidak mengambil kira keperluan saliran boleh menambahkan tekanan terhadap sistem sedia ada.

Justeru, perancangan bandar perlu mengambil kira keupayaan kawasan untuk menguruskan air hujan, bukan hanya menyediakan ruang untuk pembangunan baharu.

Kita semakin biasa melihat banjir?

Satu lagi perkara menarik untuk diperhatikan ialah reaksi masyarakat setiap kali banjir kilat berlaku. Gambar jalan ditenggelami air, kereta tersangkut dan penduduk meredah banjir pantas tersebar dalam media sosial. Ruangan komen pula dipenuhi pelbagai reaksi, termasuk rungutan, sindiran dan persoalan tentang tindakan pihak bertanggungjawab.

Namun, selepas air surut, perhatian masyarakat biasanya mula beralih kepada isu lain. Kejadian yang sebelumnya menjadi bualan hangat akhirnya tenggelam begitu sahaja sehingga hujan lebat berikutnya membawa semula cerita yang sama.

Adakah masyarakat semakin terbiasa dengan kejadian banjir kilat sehingga menganggapnya sebagai sebahagian daripada kehidupan di bandar? Jika keadaan ini berterusan, timbul persoalan sama ada kita benar-benar sedang mencari penyelesaian atau sekadar belajar menyesuaikan diri dengan masalah yang berulang.

Gambar hiasan: Pemandangan latar langit Kuala Lumpur.
Gambar hiasan: Pemandangan latar langit Kuala Lumpur.

Hakikatnya, kejadian banjir yang kerap berlaku di lokasi sama sepatutnya menjadi isyarat untuk penilaian lebih menyeluruh, bukannya sekadar tindakan sementara setiap kali air melimpah.

Air sudah surut, tetapi kerugian masih ditanggung

Satu lagi aspek yang tidak sepatutnya dipandang ringan ialah kesan selepas banjir surut. Perhatian sering tertumpu kepada kejadian ketika air sedang naik, sedangkan proses pemulihan selepas itu turut membawa beban tersendiri.

Penduduk perlu membersihkan rumah, membaiki kerosakan, menggantikan peralatan yang rosak dan menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda. Peniaga kecil pula mungkin kehilangan pendapatan apabila premis terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan dan pembaikan.

Sebagai contoh, Utusan Malaysia pada 9 Mei 2026 melaporkan beberapa peniaga di Medan Selera Jaya 223, Petaling Jaya mengalami kerugian besar selepas premis mereka ditenggelami banjir kilat.

Seorang peniaga dilaporkan mengalami kerugian peralatan dan kenderaan mencecah RM20,000, manakala peniaga lain turut kehilangan stok bahan mentah dan peralatan perniagaan.

Laporan pada 15 April 2026 pula memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir di Malaysia pada 2025 mencecah RM636.9 juta berbanding RM933.4 juta pada 2024. Daripada jumlah itu, kerugian premis perniagaan direkodkan sebanyak RM13.4 juta, manakala kerugian aset awam dan infrastruktur mencatatkan RM380.2 juta.

Walaupun angka tersebut merangkumi keseluruhan kejadian banjir di negara ini dan bukan khusus kepada banjir kilat, ia tetap menggambarkan besarnya kesan ekonomi yang perlu ditanggung akibat bencana berkenaan.

Ini menunjukkan bahawa kesan banjir tidak semestinya berakhir apabila air kembali surut. Ada yang perlu mengambil masa berhari-hari untuk membersihkan kediaman, manakala peniaga mungkin mengambil masa lebih lama untuk mengumpul semula modal dan memulakan perniagaan.

Gambar hiasan: Pembangunan bandar di Kuala Lumpur.
Gambar hiasan: Pembangunan bandar di Kuala Lumpur.

Sampai bila penyelesaian hanya tertumpu kepada tindakan selepas banjir?

Persoalan lebih besar yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana bandar dan masyarakat benar-benar bersedia menghadapi risiko banjir yang semakin mencabar.

Usaha meningkatkan kapasiti sistem saliran, memastikan penyelenggaraan berkala, melindungi kawasan tadahan air serta mengawal pembangunan di kawasan berisiko perlu dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang.

Malah, keperluan beralih daripada pendekatan menangani banjir selepas kejadian kepada langkah pencegahan turut dibangkitkan oleh perunding bebas alam sekitar dan iklim, Ahmad Afandi Nor Azmi, dalam laporan Bernama pada 2 September 2026.

Beliau mencadangkan supaya lebih banyak perhatian diberikan kepada perlindungan aset semula jadi seperti hutan tadahan air, kawasan paya bakau dan ruang hijau selain pembangunan konsep bandar span yang mampu menyerap serta menakung air hujan.

Pendekatan bandar span atau sponge city ini antara konsep yang boleh dipertimbangkan kerana ia tidak hanya bergantung kepada sistem perparitan untuk mengalirkan air keluar, sebaliknya turut menyediakan ruang semula jadi dan struktur khas untuk menyerap serta menyimpan air hujan sementara.

Perkara sama turut diberi perhatian dalam perancangan Kuala Lumpur apabila RTM pada 9 Jun 2026 melaporkan garis panduan pembangunan di ibu negara sedang dikaji semula bagi memperkukuh penyediaan ruang hijau dan kawasan tadahan air.

Langkah itu antara lain bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar span yang lebih berupaya menguruskan air hujan. Pada masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan melalui amalan menjaga kebersihan persekitaran, tidak membuang sampah ke dalam longkang serta memahami risiko banjir di kawasan masing-masing.

Namun, tanggungjawab tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan aspek perancangan pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur dan keberkesanan tindakan pihak berkuasa.

Banjir kilat mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, terutama apabila berdepan hujan luar biasa. Namun, kejadian yang berulang di lokasi sama sepatutnya menjadi isyarat bahawa sesuatu perlu dinilai semula.

Jangan sampai setiap kali hujan lebat, perkara pertama yang bermain dalam fikiran penduduk bukan lagi berapa lama hujan akan turun, sebaliknya berapa tinggi pula air akan naik kali ini.

Persoalannya, adakah kita sedang membina bandar yang lebih bersedia menghadapi perubahan cuaca atau sekadar membina lebih banyak pembangunan tanpa benar-benar menyelesaikan masalah yang sedia ada?

Artikel Berkaitan Terdahulu:

PM umum bantuan tambahan RM2,500 kepada ketua isi rumah mangsa banjir Selangor

Air naik di Lembah Klang, laluan Subang dan Shah Alam terjejas

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement