ADEN, 3 November 2026 — Pasukan Ansar Allah atau Houthi dilaporkan mara sehingga kira-kira 80 kilometer dari Aden, kedudukan paling hampir dengan ibu kota sementara kerajaan Yemen itu sejak 2015.
Empat sumber tentera memberitahu Reuters pada Isnin bahawa kumpulan berkenaan menawan seluruh daerah Al-Maqatirah di wilayah Lahj, memaksa tentera kerajaan berundur ke arah Tur al-Bahah.
Pertempuran dilaporkan berlangsung di sebuah kem tentera di pintu masuk Tur al-Bahah, antara laluan utama menuju Aden. Kem itu terletak sekitar 50 kilometer dari bandar Lahj.
Kawasan pergunungan Al-Maqatirah menghadap jalan yang menghubungkan Taiz dengan Aden, menurut laporan berkenaan.
Menurut sumber tentera itu, kemaraan tersebut membuka peluang pasukan Houthi memintas kedudukan tentera kerajaan di pergunungan yang menghadap Selat Bab el-Mandeb.
Menteri Penerangan Yemen belum memberikan respons ketika laporan diterbitkan. Reuters juga belum dapat mengesahkan video yang dikongsi pegawai Houthi, Hamid Rizq, yang didakwa menunjukkan kemasukan pejuang kumpulan itu ke Souq al-Rabouh.
Sebelum ini, Houthi memasuki Aden pada 2015 sebelum diusir. Bandar itu menjadi pusat kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa dan disokong Arab Saudi.
Kemaraan terbaharu turut mengancam laluan Aden–Taiz. Reuters melaporkan Taiz dikepung sejak awal Oktober, dengan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Terdahulu pada 1 Oktober, Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Yemen, Hans Grundberg menggesa Houthi menghentikan ofensif di Taiz.
“Saya bimbang dengan perkembangan di wilayah Taiz, apabila pertempuran meningkat dengan ketara,” kata Grundberg dipetik dari Anadolu mengenai kenyataannya ketika itu.
Pejabatnya turut menerima laporan mengenai korban, kerosakan infrastruktur dan penutupan jalan yang menjejaskan kemampuan penduduk meninggalkan kawasan pertempuran.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Houthi mara di Jabal Sabr, pertempuran sengit berterusan di Taiz
Pertempuran meluas sekitar Taiz, Houthi sekat laluan utama ke Aden
Pertempuran sengit di sekitar Taiz, laluan utama ke Aden terputus
Lima maut dalam serangan Houthi ke atas kompleks istana Aden, Kabinet Yemen selamat
Siapa kuasai Bab al-Mandab? Houthi cabar dakwaan kemaraan PLC








