Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Terengganu jadi nama kod GNOME 52 Linux

Nama Terengganu bakal digunakan untuk GNOME 52, ketika Kuala Terengganu bersiap menjadi tuan rumah GNOME.Asia Summit 2026 hujung Oktober.

October 8, 2026 • 9:40 AM 2 min read • 75 views
Terengganu jadi nama kod GNOME 52 Linux

Paparan komputer riba menggunakan GNOME. Gambar: Projek GNOME. Bukan paparan GNOME 52.

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober 2026 — Nama “Terengganu” bakal digunakan sebagai nama kod GNOME 52, versi baharu persekitaran desktop sumber terbuka Linux yang dijadualkan dilancarkan pada 17 Mac 2027.

Penggunaan nama itu dilaporkan dalam hantaran Threads Zahid Mustafar dan laporan teknologi yang memetik 9to5Linux, bersempena penganjuran GNOME.Asia Summit 2026 di Kuala Terengganu.

Menurut kalendar keluaran rasmi GNOME, pelancaran versi stabil GNOME 52 ditetapkan pada 17 Mac tahun depan. Versi ujian alfa dijadualkan pada 9 Januari, diikuti beta pada 30 Januari dan calon keluaran pada 27 Februari 2027.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

GNOME ialah persekitaran desktop yang menyediakan antara muka untuk membuka aplikasi, mengurus tetingkap dan menggunakan ruang kerja komputer. Ia digunakan dalam pelbagai edaran Linux, termasuk Ubuntu, Fedora dan Debian, menurut laman rasmi projek itu.

Nama kod 'Terengganu' merujuk kepada keluaran GNOME 52, bukannya penamaan semula semua sistem Linux. Penggunaan versi baharu itu bergantung pada jadual dan penyediaan kemas kini setiap edaran.

Poster rasmi GNOME.Asia Summit 2026 di Kuala Terengganu
Poster rasmi GNOME.Asia Summit 2026 yang akan berlangsung di Terengganu Digital 1303. Grafik: GNOME.Asia.

GNOME.Asia Summit 2026 akan berlangsung di Terengganu Digital 1303 (TD1303), Jalan Sultan Zainal Abidin, dari 31 Oktober hingga 2 November.

Program ceramah dijadualkan pada 31 Oktober dan 1 November, manakala 2 November diperuntukkan untuk lawatan serta aktiviti sosial. Persidangan tahunan itu menghimpunkan pengguna, pembangun, komuniti, pemimpin yayasan, kerajaan dan perniagaan untuk membincangkan teknologi serta pembangunan GNOME.

“Kami teruja untuk mengalu-alukan komuniti GNOME dan sumber terbuka ke Kuala Terengganu, Malaysia, dari 31 Oktober hingga 2 November 2026!” kata penganjur menerusi pengumuman pendaftaran rasmi.

Pendaftaran masih dibuka, dengan yuran biasa RM80 serta kadar RM39 bagi pelajar dan ahli GNOME Foundation. Pendaftaran merangkumi baju acara, makan tengah hari untuk dua hari program, tag masuk dan lanyard.

Sebelum ini, GNOME 51 dengan nama kod “A Coruña” dilancarkan pada 16 September 2026. Keluaran itu membawa penambahbaikan antara muka, tetapan cap jari dan aplikasi, termasuk peta luar talian.

Dalam pengumuman keluaran tersebut, pasukan GNOME turut mempelawa komuniti menghadiri persidangan di Terengganu dan memaklumkan keluaran seterusnya dirancang pada Mac 2027.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement
D

Specializes in semiconductors, AI breakthroughs, and consumer gadgets.