SEPANG, 2 November 2026 — Kajian kebolehlaksanaan membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga atau penghujung November.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, kajian akan meneliti kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, infrastruktur dan potensi pulangan ekonomi sebelum kerajaan membuat keputusan.
“Insya-Allah kita jangkakan kajian ini dapat dibentangkan pada penghujung atau minggu ketiga November, bergantung kepada slot yang kita peroleh di peringkat Kabinet,” kata Azhan Shafriman dipetik dari Bernama.
Beliau ditemui selepas perlumbaan Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia di SIC pada Ahad.
SIC akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain mendapatkan maklum balas industri perhotelan serta makanan dan minuman.
Sebelum ini, perbincangan awal SIC dengan pemegang hak komersial F1 menunjukkan slot penganjuran berpotensi untuk Malaysia hanya dibuka bermula 2029.
SIC juga akan mengkaji mekanisme cukai berkaitan F1 supaya pulangan daripada aktiviti ekonomi boleh disalurkan semula kepada kerajaan bagi mendapatkan kembali sebahagian pelaburan, katanya.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
F1 kembali ke Sepang berpotensi jana RM1.3 bilion untuk ekonomi Malaysia
Carian Airbnb naik lebih 160 peratus menjelang hujung minggu perlumbaan Sepang








