PUTRAJAYA, 29 Oktober 2026 — Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keputusan berhubung peminjamannya dibuat minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.
“Sudah, sudah. Kita buat keputusan untuk kembalikan beliau daripada peminjaman AKPS kepada polis,” kata Saifuddin dipetik dari Sinar Harian.
Beliau berkata, PDRM akan menyusun penempatan Shuhaily selepas pegawai kanan itu kembali ke pasukan berkenaan.
Ditanya mengenai pengganti ketua pengarah AKPS, Saifuddin memaklumkan jawatan itu akan diisi oleh pegawai polis tanpa memperincikan nama calon.
Menurut The Vibes, beliau tidak mendedahkan penempatan atau tugas baharu yang akan diberikan kepada Shuhaily.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan pada Rabu bahawa kedudukan perkhidmatan Shuhaily dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Mohd Khalid berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), memandangkan penugasan Shuhaily di AKPS adalah untuk tempoh dua tahun dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, menurut laporan RTM.
Shuhaily dilantik mengetuai AKPS bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027 selepas berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pada 21 Oktober lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan anggota polis
[Belanjawan 2027] AKPS terima RM490 juta, tambah anggota dan teknologi sempadan










