KUALA LUMPUR, 12 November 2026 — Kerajaan meningkatkan nilai perolehan yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera gred G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM4 bilion pada 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil untuk mengembangkan perniagaan, membina keupayaan dan melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi hantaran Facebook pada Rabu selepas sesi libat urus dengan wakil persatuan kontraktor Bumiputera. Perbincangan itu tertumpu pada cara memastikan kontraktor kecil dapat memanfaatkan inisiatif belanjawan berkenaan.
“Setiap projek adalah amanah kepada rakyat yang mesti dilaksanakan dengan mutu terbaik, mengikut jadual dan penuh tanggungjawab,” kata Anwar.
Anwar berkata, kerajaan turut memudahkan tatacara perolehan dengan menaikkan had lantikan terus sehingga RM200,000 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan kerajaan. Beliau turut menyebut kemudahan pembiayaan dan langkah menangani kenaikan kos diesel serta bitumen.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, Anwar turut mengumumkan had perolehan melalui sebut harga sehingga RM3 juta bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan kemudahan kerajaan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
[Belanjawan 2027] Nama kontraktor dan nilai kontrak kerajaan didedahkan mulai 2027
[Belanjawan 2027] Peruntukan Persekutuan RM459.8 bilion, jumlah termasuk pelaburan RM510 bilion










