Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Penyokong semakin selektif punca stadium kosong?

Perlawanan yang dianggap mempunyai nilai, cerita dan kepentingan tersendiri mampu menarik mereka keluar dari rumah, sedangkan aksi yang tidak menawarkan tarikan sama mungkin dibiarkan sepi.

September 29, 2026 • 11:38 AM 4 min read • 85 views
Penyokong semakin selektif punca stadium kosong?

Lebih 6,000 penyokong tuan rumah menghadiri perlawanan pembukaan Liga Super antara Terengganu FC dan Melaka FC di Kuala Terengganu musim ini.

KALAU benar penyokong bola sepak Malaysia semakin hilang minat, bagaimana pula kita mahu menjelaskan kehadiran lebih 6,000 peminat pada aksi pembukaan Terengganu FC (TFC) musim ini atau tiket tempat duduk penyokong tuan rumah bagi aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026, Malaysia menentang Filipina yang habis terjual?

Hakikatnya, penyokong masih ada. Mereka masih mahu ke stadium, cuma pilihan mereka semakin selektif.

Perlawanan yang dianggap mempunyai nilai, cerita dan kepentingan tersendiri mampu menarik mereka keluar dari rumah, sedangkan aksi yang tidak menawarkan tarikan sama mungkin dibiarkan sepi.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Sebab itu persoalan mengenai stadium kosong tidak wajar terus disimpulkan sebagai tanda peminat sudah tidak berminat dengan bola sepak tempatan.

Angka kehadiran beberapa aksi Liga Super pada Mei lalu juga menunjukkan jurang yang ketara.

Ada perlawanan yang hanya menarik 112 penonton seperti pertemuan PDRM FC dengan Penang FC, sedangkan aksi lain mampu menghimpunkan ribuan penyokong.

Perbezaan itu sebenarnya memberi petunjuk penting. Kalau peminat benar-benar sudah berpaling daripada bola sepak tempatan, mengapa mereka masih sanggup memenuhi stadium apabila perlawanan tertentu tiba?

Jawapannya mungkin lebih mudah daripada yang kita fikirkan.

Penyokong datang kerana ada sebab

Mungkin kerana seteru tradisi. Mungkin kerana kedudukan liga yang sedang dipertaruhkan. Mungkin kerana kehadiran pemain tertentu atau sekadar mahu menjadi sebahagian daripada suasana yang hanya boleh dirasai apabila berada di stadium.

Menonton dari rumah memang lebih mudah. Tidak perlu mencari parkir, tidak perlu berdepan kesesakan, malah makanan dan minuman juga boleh disediakan sendiri.

Jadi, apabila seorang penyokong memutuskan untuk keluar rumah, membayar tiket, minyak, tol, parkir dan makanan, sudah tentu dia mengharapkan sesuatu yang lebih daripada sekadar 90 minit permainan.

Di sinilah kelab perlu melihat semula apa yang mereka tawarkan kepada penyokong.

Penyokong tidak boleh selama-lamanya dipujuk dengan slogan sebagai 'pemain ke-12' jika kehadiran mereka tidak diterjemahkan kepada pengalaman yang lebih baik.

Mereka mahu melihat pasukan yang mempunyai identiti, pertandingan yang kompetitif dan suasana stadium yang membuatkan mereka rasa keputusan untuk datang itu berbaloi.

Hal-hal di luar padang juga tidak boleh dipandang ringan. Jadual perlawanan, harga tiket, kemudahan stadium, parkir, makanan, keselamatan dan perjalanan pulang semuanya mempengaruhi keputusan seseorang untuk datang.

Bagi pengurusan kelab, mungkin perkara itu nampak kecil. Tetapi bagi seorang bapa yang mahu membawa isteri dan anak ke stadium, semuanya perlu dikira.

Di sebalik gesaan boikot oleh Ultras Malaya, Stadium Bolasepak Cheras tetap dibanjiri penyokong Harimau Malaya semasa aksi menentang Filipina dalam kempen Piala ASEAN 2026.

Berbaloi atau tidak?

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menjadi pertimbangan, membawa empat atau lima ahli keluarga menonton bola sepak bukan lagi keputusan yang dibuat sesuka hati.

Harga tiket perlu dicampur dengan minyak, tol, parkir dan makanan sebelum jumlah sebenar diketahui.

Kemudian penyokong akan bertanya kepada diri sendiri, berbaloi atau tidak?

Jika perlawanan itu tidak kompetitif, suasana hambar dan pengalaman di stadium tidak banyak berbeza daripada menonton di rumah, pilihan untuk duduk di sofa menjadi semakin mudah.

Sebab itu ukuran kejayaan kelab tidak sepatutnya berhenti pada berapa ramai yang hadir untuk satu perlawanan. Yang lebih penting ialah berapa ramai yang sanggup datang lagi pada perlawanan berikutnya.

Bola sepak tempatan sebenarnya masih mempunyai sesuatu yang tidak boleh dibina dalam masa sehari.

Rivaliti antara negeri, sejarah kelab, budaya penyokong dan hubungan dengan komuniti masih wujud. Cuma semua itu perlu terus dipelihara dan diberikan sebab untuk kembali hidup.

Kita juga tidak perlu mengharapkan setiap stadium mempunyai jumlah penonton seperti Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Nasional Bukit Jalil. Setiap kelab mempunyai kapasiti, sejarah dan kekuatan tersendiri.

Apa yang penting ialah kelab memahami siapa penyokong mereka dan apa yang membuatkan mereka mahu hadir.

TFC sudah memberikan gambaran bahawa minat itu belum hilang apabila lebih 6,000 peminat hadir menyaksikan aksi pembukaan Liga Super musim ini.

Harimau Malaya juga masih mampu menarik sambutan besar apabila perlawanan mempunyai kepentingan dan cerita yang dekat dengan penyokong.

Dalam masa sama, apabila Selangor FC berdepan Sabah FC dalam Piala FA, stadium pula ditutup kepada penyokong susulan hukuman yang dikenakan terhadap kelab itu.

Ironinya cukup besar! Ketika bola sepak tempatan sedang mencari jalan untuk membawa lebih ramai peminat kembali ke stadium, ada perlawanan yang terpaksa berlangsung tanpa mereka.

Jadi, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, 'kenapa stadium kosong?'

Soalan yang lebih tepat ialah, 'apa yang membuatkan penyokong mahu datang pada satu perlawanan, tetapi memilih untuk tidak hadir pada perlawanan yang lain?'

Daripada situ, barulah kelab boleh melihat masalah dengan perspektif lebih luas!

Penyokong sebenarnya belum hilang, mereka cuma semakin tahu apa yang mereka mahu.

Story Tags: #Malaysia
OCT_Phytoglutide (3)Advertisement

Passionate about independent digital journalism and tech trends.