JOHOR BAHRU, 28 Oktober 2026 — Johor Corporation (JCorp) menafikan memiliki atau mengendalikan ladang di luar Malaysia, selepas dikaitkan dengan syarikat perladangan Indonesia dalam laporan mengenai kebakaran hutan dan tanah.
Dalam kenyataan pada Selasa, institusi milik Kerajaan Negeri Johor itu menjelaskan pelupusan kepentingan dilakukan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim), menurut laporan Bernama.
“JCorp ingin menjelaskan bahawa pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia,” menurut kenyataan JCorp.
Menurut JCorp, Kulim melupuskan kepentingan dalam PT Graha Cakra Mulia, PT Sumber Mahardhika Graha, PT Salonok Ladang Mas dan PT Harapan Hibrida Kalbar pada 8 Ogos 2007.
Pelupusan kepentingan dalam PT Trimurti Sumbertama menyusul pada 26 September 2007. JCorp berkata, urusan berkenaan direkodkan dalam laporan tahunannya bagi 2008.
Pada 6 Julai 2023, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya kepada PT Bakung Starch Lestari.
JCorp menegaskan pihaknya tidak lagi mempunyai kepentingan pemilikan atau penglibatan operasi dalam syarikat-syarikat tersebut. Menurutnya, penyebaran dakwaan itu menimbulkan tanggapan salah mengenai hubungan kumpulan dengan operasi berkenaan.
Sebelum ini, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mengaitkan beberapa syarikat dengan kumpulan perniagaan Malaysia melalui analisis titik panas serta kebakaran dalam kawasan konsesi.
Jurukempen hutan dan perladangan WALHI, Umi Ma’rufah menggesa kerajaan Malaysia menyiasat keadaan sebenar dan tidak hanya bergantung pada dasar bertulis atau pengisytiharan korporat.
Dalam penafiannya, JCorp berkata, dakwaan yang mengaitkan institusi itu dengan kejadian kebakaran telah menjejaskan reputasinya serta Kerajaan Negeri Johor.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kerajaan nafi kebakaran hutan Indonesia berpunca di ladang syarikat Malaysia
Walhi nilai saman di Singapura terhadap syarikat induk berkaitan jerebu
Singapura minta maklumat 10 firma berdaftar dalam siasatan jerebu










