KUALA LUMPUR, 16 November 2026 — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan disiapkan pada 2027, dengan cadangan mengawal pengiklanan dan promosi makanan tidak sihat termasuk dalam media digital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu meliputi pelbagai bentuk komunikasi pemasaran, termasuk bahan bercetak, lapor RTM.
“Antara skop utama ialah perlindungan dan sokongan pemakanan bayi dan kanak-kanak,” kata Dzulkefly dipetik dari RTM.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail di Dewan Rakyat pada Isnin. Skop yang dibentangkan turut merangkumi amalan pemakanan di institusi dan usaha memudahkan orang ramai membuat pilihan yang lebih sihat.
Akta Makanan 1983 memberi tumpuan kepada keselamatan, kualiti, komposisi dan pelabelan makanan. Cadangan RUU Pemakanan turut memberi penekanan kepada pendidikan dan amalan pemakanan. KKM akan meneruskan libat urus dengan pakar, ahli akademik, industri dan persatuan pengguna.










