PADA 1953, seorang wanita menggunakan helah dengan menyamar sebagai ibu saudara dan mendakwa ibu mangsa mengalami serangan jantung, sebelum menculik seorang kanak-kanak berusia enam tahun dari sekolah.
Bagaimanapun, penculikan itu berakhir dengan tragedi apabila mangsa dibunuh oleh dua suspek yang merupakan pasangan kekasih.
Menurut rekod Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), kejadian yang berlaku di Kansas City, Missouri, Amerika Syarikat pada 28 September 1953 itu mencetuskan operasi pencarian besar-besaran selepas keluarga mangsa, Robert Cosgrove Greenlease Jr. atau Bobby, menerima tuntutan wang tebusan AS$600,000.
Bobby merupakan anak kepada seorang pengedar kereta, Robert Cosgrove Greenlease Sr. yang menetap di Mission Hills, Kansas City.
Kejadian kira-kira jam 10.55 pagi, 28 September 1953, seorang wanita muncul di Institut Perancis Notre Dame de Sion, tempat Bobby bersekolah, sebelum menemui seorang biarawati dikenali sebagai Morand.
Wanita itu mendakwa dirinya ibu saudara Bobby dan memaklumkan bahawa ibu kanak-kanak berkenaan mengalami serangan jantung sebelum dibawa ke Hospital St Mary.
Dia turut menunjukkan reaksi sedih dan meminta maaf atas keadaannya ketika memaklumkan perkara itu kepada Morand.
Biarawati berkenaan kemudian memanggil Bobby dan memberitahu bahawa ibu saudaranya datang untuk menjemputnya tanpa mendedahkan cerita kononnya ibunya mengalami serangan jantung.
Menurut Morand, Bobby terus mengikut wanita itu tanpa curiga kerana percaya dia ibu saudaranya.
Wanita tersebut kemudian membawa Bobby keluar dari sekolah sambil memegang tangannya sebelum mereka menaiki sebuah teksi.
Bagaimanapun, kira-kira 35 minit kemudian, seorang lagi biarawati, Marthanna, menghubungi kediaman keluarga Greenlease untuk bertanyakan keadaan ibu Bobby.
Dia terkejut apabila mengetahui wanita yang datang menjemput kanak-kanak itu sebenarnya memberikan maklumat palsu.
Ibu Bobby segera menghubungi suaminya yang bergegas pulang sebelum melaporkan kejadian kepada Ketua Polis Kansas City. Polis kemudian memaklumkan perkara itu kepada FBI.
Pemandu teksi, Willard Pearson Creech, yang bekerja dengan Toedman Cab Company, memberitahu pihak berkuasa bahawa seorang wanita dengan ciri-ciri sepadan menaiki teksinya sebelum jam 11 pagi pada hari kejadian.
Wanita itu memintanya menghantar ke sekolah Notre Dame de Sion sebelum mengarahkan pemandu berkenaan menunggu kerana mahu ke kedai ubat Katz di persimpangan Westport dan Main Street.
Kira-kira enam minit kemudian, wanita itu kembali bersama seorang kanak-kanak lelaki yang sepadan dengan gambaran Bobby.
Kali terakhir Creech melihat mereka, teksi berkenaan berhenti di belakang sebuah kereta sedan Ford berwarna biru keluaran 1952 atau 1953 yang menggunakan nombor pendaftaran Kansas.
Beberapa jam selepas penculikan itu, keluarga Greenlease menerima surat pertama daripada penculik yang menuntut wang tebusan bagi pembebasan anak mereka.
Surat yang dicap pos pada jam 6 petang, 28 September 1953 itu menuntut AS$600,000 dalam bentuk wang kertas AS$20 dan AS$10 yang perlu dimasukkan ke dalam sebuah beg kanvas.
Penculik berjanji Bobby akan dikembalikan dalam tempoh 24 jam dengan syarat keluarga mangsa tidak melakukan sebarang helah ketika menyerahkan wang berkenaan.
Surat kedua yang dicap pos pada jam 9.30 malam, 29 September 1953, turut disertakan pingat Jerusalem milik Bobby.
Surat itu sekali lagi menuntut wang tebusan berjumlah AS$600,000 serta memaklumkan bahawa Bobby berada dalam keadaan baik, namun merindui keluarganya.
Secara keseluruhan, keluarga Greenlease menerima lebih enam surat tuntutan wang tebusan dan 15 panggilan telefon daripada penculik.
Komunikasi terakhir antara kedua-dua pihak berlaku menerusi panggilan telefon yang diterima di kediaman keluarga itu pada jam 1 pagi, 5 Oktober 1953.
Penculik mendakwa wang tebusan sudah diterima dan memberi jaminan bahawa Bobby masih hidup serta akan dikembalikan dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun, keluarga mangsa tidak mengetahui bahawa Bobby sebenarnya telah dibunuh tidak lama selepas diculik.
Dua individu terbabit, Carl Austin Hall dan teman wanitanya, Bonnie Emily Heady, membunuh kanak-kanak itu sebelum menanam mayatnya berhampiran rumah Heady di St Joseph, Missouri.
Selepas itu, kedua-duanya membawa wang tebusan dan bergerak sejauh kira-kira 612 kilometer ke St Louis, Missouri.
Pada 5 Oktober 1953, Hall membeli dua beg pakaian logam sebelum memindahkan wang tebusan daripada beg kanvas ke dalam kedua-dua beg tersebut.
Beg kanvas itu kemudian ditinggalkan di sebuah tempat pembakaran sampah di selatan St Louis.
Hall turut membawa Heady yang berada dalam keadaan mabuk ke sebuah apartmen yang disewanya di Arsenal Street, St Louis.
Heady terus tidur sebaik tiba di situ, manakala Hall meninggalkannya dengan hanya AS$2,000 daripada keseluruhan wang tebusan dalam beg tangannya.
Pada 6 Oktober 1953, Hall membeli dua tong sampah besar dan sebuah penyodok sebelum meletakkan barangan itu di dalam kereta sewa.
Dia kemudian memandu ke Sungai Meramec di St Louis County dengan tujuan menanam wang tebusan, namun gagal menemui lokasi yang sesuai.
Hall meninggalkan tong berkenaan di sebuah rumah kelab terbiar sebelum kembali ke Coral Courts Motel, tempat dia menginap.
Bagaimanapun, selepas mengesyaki dirinya diperhatikan beberapa individu di sekitar motel itu, Hall berpindah ke sebuah apartmen di Townhouse Hotel, St Louis.
Pihak berkuasa berjaya membongkar kes
Kira-kira jam 3.30 petang, 6 Oktober 1953, Polis Daerah ke-11 St Louis menerima panggilan daripada seorang pemandu teksi syarikat Ace Cab Company, John Oliver Hager.
Maklumat diberikan Hager membawa kepada penahanan Hall oleh anggota polis di Townhouse Hotel pada malam hari sama.
Ketika ditahan, Hall menggunakan nama John James Byrne.
Beberapa jam kemudian, Hall membawa anggota polis ke sebuah apartmen di Arsenal Street yang membawa kepada penahanan Heady.
Sepanjang disoal siasat oleh ejen FBI dan pihak penguat kuasa lain, Hall berulang kali menegaskan bahawa hampir keseluruhan wang tebusan AS$600,000 berada dalam simpanannya ketika ditahan.
Hall mengaku merancang penculikan itu, melaksanakan tindakan membawa mangsa keluar dari sekolah serta menanam mayat Bobby di halaman rumah Heady.
Dia turut mengakui mengambil wang tebusan, namun pada awalnya menafikan membunuh kanak-kanak berkenaan.
Sebaliknya, Hall cuba mengaitkan seorang lelaki bernama Tom Marsh dengan kes itu dengan mendakwa Bobby diserahkan kepada individu terbabit.
Bagaimanapun, Hall kemudian mengakui nama Marsh hanyalah rekaan dan hanya dia serta Heady terbabit dalam penculikan berkenaan.
Pada 11 Oktober 1953, Hall akhirnya mengaku bahawa dia dan Heady membawa Bobby dari Kansas City ke sebuah lokasi di Overland Park, Kansas.
Di situ, Hall menembak mati kanak-kanak berkenaan sebelum membawa mayatnya sejauh kira-kira 72 kilometer ke St Joseph, Missouri.
Mayat Bobby kemudian ditanam di halaman rumah Heady dan kawasan kuburnya ditanam bunga.
Heady pula mengaku membantu Hall menyediakan surat tuntutan wang tebusan serta arahan kepada keluarga Greenlease berhubung penyerahan wang.
Dia turut mengakui pergi ke sekolah berkenaan untuk mengambil Bobby dengan menggunakan helah bahawa ibu kanak-kanak itu sedang sakit.
Mayat Bobby ditemukan ejen FBI pada jam 8.40 pagi, 7 Oktober 1953, berhampiran anjung rumah Heady di 1201 South 38th Street, St Joseph, Missouri.
Mayat mangsa dibungkus menggunakan beg plastik sebelum ditabur dengan kapur dalam jumlah yang banyak.
Doktor gigi keluarga Greenlease mengesahkan identiti mayat itu sebagai Bobby pada jam 1.05 tengah hari hari sama.
Siasatan turut menemukan kesan darah di lantai dan tangga ruang bawah tanah rumah Heady, selain pada sehelai blaus nilon serta permaidani gentian.
Beberapa kelongsong peluru berkaliber .38 turut ditemukan di rumah berkenaan.
Pemeriksaan makmal FBI mendapati kelongsong tersebut dilepaskan daripada sepucuk revolver Smith & Wesson berlaras pendek berkaliber .38 yang berada dalam simpanan Hall ketika dia ditahan.
Makmal sama turut mengesahkan sebutir peluru yang ditemukan pada alas lantai getah sebuah kereta Plymouth jenis station wagon milik Heady dilepaskan menggunakan revolver berkenaan.
Pada 30 Oktober 1953, Hall dan Heady dihadapkan ke mahkamah persekutuan di Kansas City, Missouri. Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Pada 19 November 1953, juri mahkamah berkenaan mengesyorkan hukuman mati selepas hanya mengambil masa sejam lapan minit untuk membuat keputusan.
Hanya 15 minit selepas keputusan diumumkan, Hakim Albert L Reeves menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua tertuduh yang dijadualkan dilaksanakan pada 18 Disember 1953.
Reeves menyifatkan keputusan itu setimpal dengan bukti yang dikemukakan dan menyatakan kes berkenaan sebagai pembunuhan paling kejam serta tidak berperikemanusiaan pernah dikendalikannya.
Hall dan Heady akhirnya menjalani hukuman mati menggunakan gas beracun di Penjara Negeri Missouri, Jefferson City, pada 18 Disember 1953.
Hall disahkan meninggal dunia pada jam 12.12 tengah malam, manakala Heady disahkan meninggal dunia 20 saat kemudian.
Bagaimanapun, lebih separuh daripada wang tebusan AS$600,000 itu tidak pernah ditemukan.
Siasatan FBI mendapati dua beg pakaian yang dipercayai mengandungi wang tebusan dan dikatakan berada dalam simpanan Hall ketika ditahan sebenarnya tidak dibawa ke balai polis seperti yang dinyatakan anggota polis yang membuat tangkapan.
Dua anggota terbabit, Leftenan Louis Ira Shoulders dan anggota peronda Elmer Dolan, kemudiannya didakwa di mahkamah persekutuan atas kesalahan memberi keterangan palsu.
Shoulders disabitkan kesalahan pada 15 April 1954 dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, manakala Dolan disabitkan pada 31 Mac 1954 serta dihukum penjara dua tahun.
Selepas dibebaskan, kedua-duanya kembali menetap di kawasan St Louis.
Shoulders meninggal dunia pada 12 Mei 1962, manakala Dolan menerima pengampunan penuh daripada Presiden Amerika Syarikat yang ke-36, Lyndon B Johnson pada 21 Julai 1965.










