DUA lelaki menyamar sebagai anggota polis sebelum melarikan 13 karya seni bernilai lebih AS$500 juta dari Muzium Isabella Stewart Gardner di Amerika Syarikat (AS), dalam kejadian yang dianggap sebagai rompakan harta benda terbesar dalam sejarah negara itu.
Kejadian berlaku pada 18 Mac 1990 apabila kedua-dua lelaki terbabit membunyikan loceng keselamatan pada waktu malam di muzium itu, kononnya untuk menyiasat satu gangguan keselamatan.
Selepas dibenarkan masuk, kedua-dua suspek kemudian mengikat pengawal keselamatan di ruang bawah tanah sebelum bertindak mencuri karya seni yang dipamerkan di muzium berkenaan.
Kedua-dua suspek itu mengambil masa kira-kira 81 minit untuk melarikan 13 karya seni berharga yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih AS$500 juta menurut anggaran muzium.
Antara karya seni yang dicuri termasuk lakaran oleh Edgar Degas, hasil seni Rembrandt serta sebuah lukisan karya Johannes Vermeer.
Muzium yang diasaskan oleh Isabella Stewart Gardner itu dibuka kepada orang ramai pada 1903.
Wanita itu memainkan peranan dalam memilih serta menyusun setiap karya seni di muzium berkenaan mengikut susun atur dan kedudukan yang dikehendakinya.
Sehingga kini, pengunjung yang memasuki ruang galeri Belanda di tingkat dua muzium itu pasti menyedari beberapa bingkai lukisan besar berwarna keemasan yang masih tergantung kosong selepas karya Rembrandt dan Vermeer dicuri.
Pihak muzium mengambil keputusan untuk mengekalkan bingkai kosong itu pada 1994, empat tahun selepas kejadian sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai kehilangan karya seni berkenaan.
Tindakan itu juga membawa mesej dan harapan bahawa karya yang pernah menghiasi ruang tersebut suatu hari nanti akan dikembalikan ke tempat asalnya.
Sementara itu, Pejabat Lapangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Boston masih meneruskan siasatan kes berkenaan dengan kerjasama pihak muzium.
Siasatan turut melibatkan penelitian terhadap pelbagai petunjuk yang diterima dari seluruh dunia bagi mengesan karya seni yang masih hilang.
Kesemua karya seni yang dicuri itu disenaraikan dalam National Stolen Art File (NSAF), iaitu pangkalan data dalam talian yang merekodkan karya seni dan barangan kebudayaan yang dilaporkan hilang atau dicuri.
Muzium Isabella Stewart Gardner turut menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta kepada pihak yang berjaya membantu mendapatkan semula kesemua karya seni berkenaan dalam keadaan baik.
Orang ramai juga boleh mengakses pangkalan data NSAF menerusi aplikasi National Stolen Art File bagi membantu usaha mengesan dan mendapatkan semula karya seni yang hilang.










