Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Ultra Kalcer 2026 bawa Kris Dayanti kembali bertemu peminat Malaysia

Kris Dayanti bakal berkongsi pentas dengan artis Malaysia dan Indonesia pada Ultra Kalcer Malaysia 2026 di KL Festival Park, 7 dan 8 November.

W
Wawan Wartawan Senior
November 4, 2026 • 8:58 AM 3 min read • 14 views
Ultra Kalcer 2026 bawa Kris Dayanti kembali bertemu peminat Malaysia

Kris Dayanti bakal kembali bertemu peminat Malaysia menerusi Ultra Kalcer Malaysia 2026.

MALAYSIA bukanlah destinasi asing buat Kris Dayanti, yang sudah sekian lama menjalin hubungan istimewa dengan peminat muzik di negara ini.

Setiap kunjungan membuka ruang untuk penyanyi Indonesia itu bertemu semula dengan pendengar yang terus menyokong perjalanan seninya, sekali gus menjadikan pentas tempatan sentiasa dekat di hatinya.

Keterujaan itu sekali lagi dirasai apabila Kris Dayanti bakal beraksi di Ultra Kalcer Malaysia 2026, sebuah festival muzik yang bakal menghimpunkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.

OCT_Aphrodax (2)Advertisement

Penyanyi berusia 51 tahun itu menyifatkan peluang daripada penganjur, Neptunes Presents, sebagai satu penghargaan, apatah lagi festival berkenaan turut membuka ruang kepada pemuzik dari dua negara serumpun untuk berkongsi pentas.

“Hubungan saya yang sudah terjalin dengan peminat di Malaysia sejak sekian lama juga antara sebab utama saya teruja untuk kembali beraksi di sini.

“Jadi, apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dalam sebuah festival muzik yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dari dua negara serumpun, pastinya saya sangat berbesar hati.

“Saya melihat kemunculan di festival muzik ini sebagai satu peluang untuk terus mengeratkan hubungan muzik dan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” kata Kris Dayanti dalam kenyataan mengenai penyertaannya dalam festival itu.

Potret promosi Kris Dayanti.
Kris Dayanti melihat penyertaannya dalam Ultra Kalcer Malaysia 2026 sebagai peluang mengeratkan hubungan muzik dan budaya Malaysia-Indonesia.

Sebelum ini, Kris Dayanti mengadakan Konsert Cinta Nostalgia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Jun 2025, yang turut menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mimi Fly.

Mahu cipta kenangan indah

Teruja menantikan pertemuan itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Menghitung Hari berkenaan berharap dapat memberikan persembahan yang meninggalkan kesan kepada peminat setianya di sini.

Baginya, kepuasan penonton menjadi antara perkara penting yang ingin dicapai setiap kali membuat persembahan, lebih-lebih lagi apabila beraksi dalam festival yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dan kelompok pendengar.

“Saya akan memberikan persembahan yang terbaik dari segi vokal, penghayatan, tenaga mahupun interaksi dengan penonton.

“Saya mahu peminat di Malaysia pulang dengan membawa kenangan yang indah dan merasa puas serta berbaloi untuk hadir ke festival ini,” kata Kris Dayanti.

Potret promosi Kris Dayanti.
Kris Dayanti memberi tumpuan kepada vokal, stamina dan pemilihan lagu untuk persembahan festival.

Kris Dayanti turut memberi perhatian kepada latihan vokal, stamina dan kesihatan, selain pemilihan lagu serta susunan muzik yang bersesuaian dengan suasana festival bagi memastikan penonton dapat menikmati persembahan dan turut menyanyi bersama.

“Persembahan yang baik bukan sekadar menyanyi tetapi bagaimana kita menyampaikan emosi dan mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan pada penonton.

“Saya akan memastikan pemilihan lagu juga bersesuaian dengan suasana festival yang dinamik dan meriah supaya penonton boleh sama-sama menyanyi, menikmati muzik dan berasa dekat dengan saya sepanjang persembahan,” kata Kris Dayanti lagi.

Poster Ultra Kalcer Malaysia 2026.
Poster barisan artis Ultra Kalcer Malaysia 2026 di KL Festival Park pada 7 dan 8 November. Poster Neptunes Presents.

Selain Kris Dayanti, festival berkenaan turut menampilkan barisan artis Indonesia dan Malaysia seperti Hindia, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes & The Moonlight Knights, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.

Peminat yang berminat menyaksikan festival muzik selama dua hari itu boleh menyemak maklumat dan ketersediaan tiket menerusi laman rasmi BBO Events.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement