Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Nabila Huda tak kejar bayaran, naskhah berkualiti jadi pilihan

Nabila Huda mengutamakan watak, kekuatan naskhah dan pengalaman baharu dalam memilih tawaran lakonan, termasuk teater.

W
Wawan Wartawan Senior
November 11, 2026 • 7:48 AM 4 min read • 34 views
Nabila Huda tak kejar bayaran, naskhah berkualiti jadi pilihan

Nabila Huda pada sesi bacaan skrip Tragedi Malam Pesta.

BAGI pelakon yang sudah lama berada dalam industri, pengalaman tidak semestinya membuatkan seseorang selesa berada dalam satu zon sahaja.

Sebaliknya, peluang mencuba sesuatu yang berbeza boleh menjadi ruang untuk terus menguji kemampuan dan menambah ilmu dalam bidang lakonan.

Prinsip itu turut dipegang Nabila Huda yang sentiasa terbuka menerima tawaran daripada pelbagai cabang seni, termasuk teater, meskipun namanya lebih sinonim dengan filem dan drama.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Baginya, pengalaman berada di pentas menawarkan kepuasan tersendiri, terutama apabila dapat melihat reaksi penonton selepas menyampaikan sesebuah cerita.

Pelakon berusia 42 tahun itu mengakui proses latihan dan membina keserasian dengan barisan pelakon menjadi antara perkara yang paling dinikmatinya sebelum sesebuah pementasan dipersembahkan.

“Teater ada cabarannya sendiri. Saya suka prosesnya sebelum dipentaskan, termasuk latihan dan membina keserasian dengan pelakon lain.

“Apabila sudah berada di pentas dan dapat melihat reaksi penonton, kepuasannya memang berbeza. Balik rumah pun saya rasa puas kerana berjaya menyampaikan cerita itu,” katanya kepada Nusa Times.

Nabila Huda (tengah) bersama Beto Kusyairy dan pengarah, Afiza Asram, pada sesi bacaan skrip Tragedi Malam Pesta.
Nabila Huda (tengah) bersama Beto Kusyairy dan pengarah, Afiza Asram, pada sesi bacaan skrip Tragedi Malam Pesta.

Penglibatannya dalam teater Tragedi Malam Pesta juga didorong keinginan meneroka pengalaman baharu. Selepas menjayakan Masmoona tahun lalu, dia teruja apabila sekali lagi berpeluang menyertai pementasan dengan naskhah menarik.

Lebih menggembirakan, menerusi naskhah arahan Afiza Asram itu, dia dapat bergandingan dengan Beto Kusyairy serta pelakon berpengalaman seperti Aloy Paradoks dan Firdaus Karim.

Kali ini, cabaran lebih tertumpu kepada penguasaan dialog dan pemahaman jalan cerita. Berbeza daripada pementasan yang memerlukan nyanyian atau koreografi, naskhah itu banyak bergerak melalui perbualan antara watak, sekali gus menjadikan hafalan dialog persediaan utama.

Kesediaannya menerima pelbagai tawaran juga berkait rapat dengan prinsip yang dipegang sejak awal menceburi bidang lakonan. Bagi Nabila, watak dan pengalaman yang ditawarkan sesebuah naskhah lebih penting daripada jumlah bayaran.

“Sejak mula menceburi industri, bayaran bukan perkara pertama yang saya fikirkan. Fokus utama saya ialah watak yang ingin dibawa.

"Jika naskhah itu bagus dan memberi pengalaman, soal duit saya letakkan ke tepi,” jelasnya ketika ditemui pada sesi bacaan skrip dan sidang media teater Tragedi Malam Pesta baru-baru ini.

Nabila Huda berkongsi pengalamannya beraksi di pentas teater.
Nabila Huda berkongsi pengalamannya beraksi di pentas teater.

Pemenang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) menerusi Masmoona itu juga tidak keberatan menyertai produksi bebas atau pementasan berskala kecil.

Baginya, peluang kembali ke pentas dan merasai adrenalin beraksi secara langsung sudah cukup bermakna. Dia turut percaya rezeki akan hadir pada waktunya dan lebih selesa menjalani kehidupan sederhana.

Tidak memilih platform

Prinsip yang sama membuatkan Nabila tidak mahu mengehadkan kerjaya kepada satu medium sahaja. Sama ada filem, drama, platform penstriman mahupun teater, dia terbuka menerima tawaran selagi watak dan skrip bersesuaian dengannya, termasuk untuk peranan kecil atau kemunculan khas.

Baginya, pelakon perlu terus bekerja bagi memastikan kemahiran tidak tumpul. Tempoh terlalu lama tanpa berlakon boleh membuatkan seseorang kekok apabila kembali ke set.

“Kalau terlalu lama tidak berlakon, kita boleh rasa kekok apabila kembali ke set. Sama seperti menyanyi, kemahiran itu perlu sentiasa dilatih. Sebab itu saya tidak mahu berhenti berlakon. Saya perlu terus meneroka dan mengasah kemampuan,” katanya.

Walaupun sudah lama berada dalam industri, Nabila tidak pernah menganggap dirinya sudah cukup mahir. Sebaliknya, dia masih melihat setiap pengalaman sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki mutu lakonan.

Nabila Huda ketika ditemui pada sesi bacaan skrip dan sidang media Tragedi Malam Pesta.
Nabila Huda ketika ditemui pada sesi bacaan skrip dan sidang media Tragedi Malam Pesta.

“Saya masih belajar dan tidak pernah rasa diri ini sudah cukup bagus. Saya sentiasa sedar betapa sukarnya untuk memulakan kerjaya dahulu. Jadi, walau di tahap mana sekalipun saya berada sekarang, saya tetap mahu belajar,” tegasnya.

Bagi Nabila, perjalanan sebagai pelakon tidak terhenti pada pencapaian yang sudah diraih. Selagi ada naskhah yang mampu mencabar dirinya, dia mahu terus mencuba dan memperluas pengalaman.

Artikel Berkaitan Terdahulu:

Barisan pelakon berpengalaman jadi kekuatan Tragedi Malam Pesta

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement