NEW YORK, 7 Oktober 2026 — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menggesa gencatan senjata di Gaza dijadikan kekal dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk pada skala besar.
Dalam mesej pada Selasa menjelang ulang tahun ketiga serangan 7 Oktober 2023, Guterres turut menyeru penghormatan undang-undang antarabangsa dan laluan politik menuju keamanan.
“Sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal,” kata Guterres dipetik dari kenyataan PBB.
Guterres berkata, gencatan senjata tahun lalu membawa sedikit kelegaan, tetapi belum menyediakan keselamatan, bantuan kemanusiaan mencukupi atau laluan pemulihan dan keamanan yang boleh dipercayai.
Beliau meminta semua pihak melaksanakan komitmen sepenuhnya dan bergerak ke fasa seterusnya berdasarkan Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza.
Sebelum ini, serangan Gerakan Penentangan Islam (Hamas) dan kumpulan bersenjata Palestin lain pada 7 Oktober 2023 membunuh lebih 1,200 warga Israel serta warga asing, manakala 251 orang dijadikan tebusan, menurut kenyataan PBB itu.
Guterres menyatakan pertempuran selepas serangan tersebut membawa kehilangan nyawa, perpindahan penduduk dan kemusnahan besar kepada rakyat Palestin di Gaza. Beliau menyeru penderitaan orang awam dihentikan.
Secara berasingan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2 Oktober 2026 memberi amaran bahawa kelewatan membawa ubat, anggota prostetik dan bekalan lain ke Gaza menjejaskan penduduk yang memerlukan rawatan.
WHO meminta kemasukan bekalan kesihatan serta bantuan tanpa halangan dan secara terjamin, melalui lebih daripada satu lintasan. Menurut agensi itu, bantuan yang diluluskan hanya dapat dibawa masuk melalui Kerem Shalom, sementara beberapa lintasan utama lain kekal ditutup.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Pelan Gaza, mengapa gencatan senjata belum membawa pemulihan?
Korban Gaza meningkat kepada 74,228, ribuan jasad masih tertimbus
Malaysia salur AS$600,000 untuk hospital Palestin, Jenin dan Al-Aqsa
105 jasad ditemukan di bawah runtuhan Gaza, lebih 8,000 lagi dipercayai masih tertimbus










