Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

AirTag bongkar kegiatan pencuri batu penutup tembok bersejarah

Ahli majlis tempatan menyembunyikan Apple AirTag di dalam batu longgar sebelum polis menjejaki batu yang dicuri ke sebuah kediaman di Wigan.

A
Aim Wartawan Senior
November 8, 2026 • 5:35 PM 2 min read • 46 views
AirTag bongkar kegiatan pencuri batu penutup tembok bersejarah

Matt Smith menunjukkan Apple AirTag yang digunakan untuk menjejaki batu penutup tembok yang dicuri.

LANCASHIRE, 8 November 2026 — Tindakan mencuri batu penutup tembok bersejarah berusia hampir 300 tahun terbongkar selepas penduduk sebuah kampung menggunakan teknologi penjejak Apple AirTag bagi mengesan lokasi batu yang dicuri.

Strategi luar biasa itu dirancang seorang ahli majlis, Matt Smith, 43, selepas kira-kira 30 batu penutup tembok (coping stones) dilaporkan hilang secara berperingkat dari sebuah tembok batu bersejarah yang terletak di antara kampung Holmeswood dan Rufford, Lancashire.

Kecurian yang berlaku di sepanjang laluan kira-kira 800 meter itu dipercayai dilakukan beberapa kali sejak Oktober 2025 sehingga menyebabkan penduduk setempat semakin bimbang.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Smith berkata, beliau pada awalnya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, namun dimaklumkan siasatan sukar dijalankan berikutan kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) atau bukti forensik yang boleh membantu mengenal pasti pelaku.

Penduduk kemudian memasang papan tanda amaran bertulis 'Smile, you're on camera' dengan harapan dapat menakutkan pencuri, namun usaha itu tidak membuahkan hasil.

Mereka turut mempertimbangkan pemasangan CCTV sendiri, tetapi kos yang tinggi serta kawasan tembok yang panjang menyukarkan rancangan berkenaan dilaksanakan.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, Smith mendapatkan kebenaran pemilik tembok sebelum melaksanakan rancangan menggunakan Apple AirTag.

Beliau memilih seketul batu yang sudah longgar, kemudian menggerudi bahagian bawahnya untuk memasukkan alat penjejak berkenaan sebelum menutup semula lubang tersebut supaya tidak disedari penjenayah.

Strategi itu akhirnya membuahkan hasil apabila Smith menerima pemberitahuan pada telefon bimbitnya kira-kira empat minggu kemudian bahawa batu yang dipasang alat penjejak itu telah dipindahkan.

Beliau kemudian menghubungi polis dan menyalurkan maklumat lokasi yang dikesan menerusi AirTag berkenaan.

Pasukan South Rural Task Force daripada Lancashire Police kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah kediaman di Wigan dan menemukan sejumlah besar batu penutup tembok yang dipercayai dicuri.

Polis di lokasi kecurian batu penutup tembok bersejarah di Lancashire.
Polis di lokasi kecurian batu penutup tembok bersejarah di Lancashire.

Batu-batu berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira £7,000 (RM39,000), manakala Smith mendakwa puluhan batu lain yang dipercayai dicuri dari beberapa lokasi berbeza turut ditemukan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berpotensi mencecah £40,000 (RM220,000).

Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan sebelum mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dan satu pertuduhan mengendalikan barangan curi.

Menurut The Telegraph, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan yang digantung selama 22 bulan.

Smith berpuas hati apabila lelaki terbabit akhirnya dibawa ke muka pengadilan, selain usaha penduduk berjaya mengembalikan batu-batu bersejarah itu ke tempat asal.

Beliau bersama sebuah syarikat pembinaan dan penduduk tempatan kemudian membantu memasang semula batu-batu berkenaan pada tembok tersebut.

Batu penutup tembok yang ditemui semula dan tembok selepas batu dipasang kembali.
Batu penutup tembok yang ditemui semula dan tembok selepas batu dipasang kembali.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement