Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Lima pasukan Counter-Strike ‘tukar wajah’ di PGL Major Singapore

Lima pasukan menggunakan nama atau logo alternatif dalam kejohanan Counter-Strike 2 di Singapura.

A
Aim Wartawan Senior
November 14, 2026 • 8:30 AM 3 min read • 30 views
Lima pasukan Counter-Strike ‘tukar wajah’ di PGL Major Singapore

Barisan pasukan yang memulakan saingan pada peringkat pertama PGL Major Singapore 2026. – PGL

SINGAPURA, 14 November 2026 — Lima organisasi Counter-Strike mempunyai kaitan langsung dengan syarikat pertaruhan terpaksa menggunakan nama dan logo alternatif bagi membolehkan mereka menyertai PGL Major Singapore 2026 yang berlangsung dari 24 November hingga 13 Disember 2026.

Situasi itu mencipta kelainan dalam sejarah kejohanan Major Counter-Strike apabila lima organisasi terbabit, PARIVISION, BETBOOM, 1WIN, Imperial Esports dan BC.Game, perlu mengubah identiti masing-masing khusus untuk pertandingan berprestij berkenaan.

Penglibatan organisasi yang mempunyai hubungan rapat dengan platform pertaruhan dalam arena e-sukan semakin ketara, khususnya menerusi permainan popular seperti Counter-Strike dan Dota 2.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Perkembangan itu turut mendapat perhatian Valve, selaku penerbit permainan berkenaan, yang sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap penggunaan jenama berkaitan pertaruhan dalam kejohanan Major.

Berbeza dengan penajaan biasa, organisasi terbabit mempunyai hubungan lebih langsung dengan platform pertaruhan sehingga nama dan logo syarikat berkenaan menjadi sebahagian daripada identiti pasukan.

Imperial Esports pernah mengubah identiti visualnya untuk pelekat rasmi Major pada 2025.

Perkara itu penting kerana kejohanan Major bukan sekadar medan persaingan kompetitif, malah menyediakan pelekat (sticker) rasmi yang memaparkan identiti pemain dan organisasi bertanding.

Pelekat berkenaan turut menjadi sumber pendapatan penting kepada pasukan serta pemain, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekosistem Counter-Strike.

Pada penghujung 2025, Imperial yang menggunakan logo dengan paparan jenama kasino dalam talian Gandom terpaksa menukar reka bentuk pelekat selepas penghantaran awal ditolak.

Barisan pasukan yang memulakan saingan pada peringkat ketiga.
Barisan pasukan yang memulakan saingan pada peringkat ketiga. – PGL

Bagi edisi 2026, organisasi itu kembali menggunakan logo terdahulu khusus untuk kejohanan Major.

Selain Imperial, empat lagi organisasi yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan di Singapura turut mengambil pendekatan sama dengan menyediakan identiti alternatif bagi nama dan logo pelekat masing-masing.

PARIVISION memilih nama PVISION, pendekatan yang pernah digunakan organisasi itu dalam beberapa kejohanan lain termasuk Esports World Cup.

BETBOOM pula menggunakan nama BB TEAM, sekali gus mengekalkan identiti lebih ringkas tanpa memaparkan jenama asal platform pertaruhan berkenaan.

Sementara itu, 1WIN mengambil pendekatan berbeza apabila menggunakan reka bentuk logo yang diinspirasikan daripada identiti Titan, sebuah nama ikonik dalam sejarah Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO).

Titan merupakan antara organisasi lama yang cukup dikenali dalam arena kompetitif permainan itu. Pelekat pasukan berkenaan kini mempunyai nilai tinggi dalam kalangan pengumpul berikutan jumlah kemunculannya yang terhad dalam kejohanan Major.

Fenomena sama turut melibatkan beberapa organisasi terdahulu seperti Team LDLC, iBUYPOWER dan REASON Gaming yang pelekatnya menjadi buruan pengumpul.

Barisan pasukan yang memulakan saingan pada peringkat kedua.
Barisan pasukan yang memulakan saingan pada peringkat kedua. – PGL

Bagaimanapun, perubahan 1WIN lebih ketara apabila organisasi itu bakal bertanding menggunakan nama THE ONE tanpa mengekalkan identiti asal jenama berkenaan.

BC.Game pula memilih pendekatan berbeza apabila mengetengahkan GOSH, iaitu platform penstriman milik syarikat pertaruhan berkenaan.

Nama dan logo GOSH akan digunakan sebagai identiti organisasi itu sepanjang PGL Major Singapore 2026.

Penggunaan jenama alternatif dalam pertandingan Counter-Strike bukan perkara baharu, khususnya dalam memenuhi keperluan perjanjian penajaan.

Team Vitality, misalnya, yang mempunyai penajaan daripada platform kasino Stake, pernah menggunakan logo KICK, iaitu platform penstriman milik syarikat sama, bergantung kepada kejohanan atau rantau pertandingan.

Perubahan identiti itu memperlihatkan pendekatan Valve dalam mengawal penggunaan jenama berkaitan pertaruhan pada pelekat rasmi Major, meskipun organisasi terbabit masih boleh menggunakan identiti asal dalam kejohanan lain sepanjang tahun.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement