AMERIKA SYARIKAT, 7 November 2026 — Pempengaruh permainan video dan penstrim Twitch terkenal, Nicholas ‘Jynxzi’ Stewart mengumumkan pengambilalihan pasukan e-sukan Rainbow Six Siege, FYR Strays daripada organisasi CAMPFYR.
Menurut pengumuman Ubisoft pada Jumaat, pasukan berkenaan akan menggunakan nama baharu iaitu Jynxzi Esports.
Ditubuhkan pada tahun ini, FYR Strays mencipta rekod membanggakan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim sulungnya, selain muncul juara NA Open Cup Palmetto Bay 2026 dan NA Open Cup Finals 2026.
Barisan pemain aktif pasukan itu ketika ini terdiri daripada Bootz, Franklin, Jayyguns, Looo, Mingo dan Chixtt.
FYR Strays turut mengesahkan slot automatik ke peringkat playoff kelayakan terakhir (LCQ) Six Invitational (SI).
Dalam kejohanan itu, lapan pasukan akan bersaing menerusi format penyingkiran berganda dengan siri terbaik daripada tiga permainan bagi merebut satu slot ke kejohanan SI seterusnya.
Pasukan berkenaan juga layak secara automatik ke peringkat playoff Challenger Finals.
Sekiranya muncul juara, mereka bakal memperoleh tempat dalam saingan liga peringkat pertama Amerika Utara, Blast R6 Tier 1 North America League bagi musim 2027.
Jynxzi merupakan antara pencipta kandungan Rainbow Six Siege paling popular di dunia dan pernah menjalin kerjasama dengan Ubisoft menerusi beberapa acara berkaitan permainan itu.
Awal tahun ini, beliau menganjurkan kejohanan Jynxzi's Tournament yang menghimpunkan 16 pencipta kandungan untuk bersaing dalam format dua lawan dua selama enam jam.
Beliau turut meraih anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Six Invitational 2025 sehingga diberikan pengiktirafan khas menerusi pengenalan barangan kosmetik rasmi dalam permainan Rainbow Six Siege.










