Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Dua gelaran Major, 17 tahun pengalaman: NBK- galas tugas baharu

Phantom Esports melantik juara dua kejohanan Major, Nathan “NBK-” Schmitt, sebagai ketua jurulatih Counter-Strike 2.

A
Aim Wartawan Senior
November 8, 2026 • 1:31 PM 3 min read • 32 views
Dua gelaran Major, 17 tahun pengalaman: NBK- galas tugas baharu

Nathan “NBK-” Schmitt dalam visual pelantikan ketua jurulatih. Foto Phantom Esports.

POLAND, 8 November 2026 — Phantom Esports mempertaruhkan pengalaman luas Nathan ‘NBK-’ Schmitt apabila melantik bekas pemain profesional Counter-Strike 2 (CS2) itu sebagai ketua jurulatih pasukan utama mereka.

Pelantikan itu menandakan permulaan fasa baharu dalam karier lelaki berusia 32 tahun dari Perancis itu selepas 17 tahun bergiat sebagai pemain profesional sebelum beralih ke dunia kejurulatihan.

Lebih menarik, tugas bersama Phantom bakal menjadi pengalaman pertama NBK- mengendalikan sebuah pasukan sebagai ketua jurulatih sepenuh masa.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

NBK- menggantikan Dawid 'lunAtic' Cieślak yang meninggalkan organisasi itu pada September lalu.

Sebelum menyertai Phantom, NBK- mula membina pengalaman di luar gelanggang pertandingan selepas menamatkan khidmat bersama GenOne pada Februari lalu.

Beliau kemudian menyertai 3DMAX sebagai penolong jurulatih, sekali gus membuka laluan kepada peranan lebih besar dalam karier baharunya.

Kini, NBK- bakal memikul tanggungjawab utama dalam merangka strategi dan membimbing barisan pemain campuran Denmark-Poland itu yang berhasrat memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

Dalam pengumuman pada Sabtu, Phantom menjelaskan keputusan mendapatkan khidmat NBK- dibuat berdasarkan pengalaman luas, mentaliti kemenangan serta pemahaman mendalam beliau terhadap permainan.

Organisasi itu percaya bekas juara Major berkenaan memiliki ciri diperlukan untuk membawa projek pembangunan pasukan ke tahap seterusnya.

Visual rasmi Counter-Strike 2
Visual rasmi permainan Counter-Strike 2. Grafik Valve.

Pelantikan tersebut bukan sekadar mendapatkan khidmat nama besar dalam arena Counter-Strike, sebaliknya Phantom berharap pengalaman NBK- beraksi di pentas tertinggi mampu membantu meningkatkan daya saing pasukan.

Sepanjang 17 tahun karier profesionalnya, NBK- mengharungi beberapa generasi permainan Counter-Strike dan meraih pelbagai kejuaraan berprestij.

Beliau turut muncul dalam senarai pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali selain mencatat pencapaian membanggakan sebagai juara Major sebanyak dua kali.

Pengalaman beraksi dalam kejohanan berprestij, mengendalikan tekanan pertandingan serta bekerjasama dengan barisan pemain antarabangsa dijangka menjadi aset penting dalam pendekatan kejurulatihannya.

Bagi NBK-, tugasan di Phantom juga membuka peluang untuk menguji sejauh mana pengalaman yang dikumpul sepanjang karier sebagai pemain dapat diterjemahkan kepada kejayaan dari sudut taktikal dan pengurusan pasukan.

Phantom sebelum ini menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik CCT Europe Series 12 sebelum melonjak ke kedudukan ke-55 Valve Regional Standings (VRS) global pada pertengahan Oktober lalu.

Walaupun masih belum mampu menempatkan diri secara konsisten dalam kelompok pasukan terbaik dunia, pencapaian itu memberikan asas untuk Phantom terus memperbaiki prestasi.

Sasaran utama mereka selepas ini adalah meningkatkan kedudukan ranking sekali gus membuka peluang memburu slot ke kejohanan Major menerusi pusingan kelayakan akan datang.

Kehadiran NBK- dilihat mampu menjadi antara faktor penting dalam merealisasikan sasaran tersebut.

Dalam perkembangan sama, Phantom akan mengekalkan barisan pemain sedia ada iaitu TMB, nicoodoz, KEi, Kylar dan Kunai di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu itu.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement