SUBANG JAYA, 11 September 2026 - Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, memperkukuh kerjasama strategiknya dengan TVETMARA menerusi Surat Hasrat (LOI) bagi membangunkan tenaga mahir dalam bidang kenderaan elektrik (EV) yang memenuhi keperluan industri automotif Malaysia.
Surat Hasrat itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang dan Pengarah TVETMARA Masjid Tanah, Shabudin Said, sebagai komitmen bersama untuk memperluas latihan teknikal EV, pendedahan industri serta pembangunan bakat dalam bidang mobiliti elektrik.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan dan peningkatan program latihan teknikal EV yang selaras dengan keperluan industri, termasuk latihan amali, latihan sambil bekerja (OJT), latihan industri, program perantis serta pendedahan teknikal.
Kerjasama itu dilaksanakan ketika Proton e.MAS terus mencatat pertumbuhan, dengan lebih 6,000 unit kenderaan Proton e.MAS telah didaftarkan sehingga 31 Ogos 2026. Peningkatan jumlah EV di jalan raya turut meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja selepas jualan yang mempunyai kemahiran khusus.
Zhang Qiang berkata, pembangunan tenaga mahir perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan penggunaan EV bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan selepas jualan yang berkualiti.
“Usaha ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi EV, tetapi turut memberi mereka pengalaman amali sebenar, membina keyakinan serta memahami keperluan sebenar industri,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan institusi TVET juga dapat menyediakan laluan lebih jelas daripada pendidikan teknikal kepada latihan industri dan seterusnya kerjaya sebagai juruteknik EV bertauliah.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama, TVETMARA Masjid Tanah turut bersetuju menganjurkan e.MAS Electrified Excellence Competition yang pertama, melibatkan Juruteknik EV dan Penasihat Servis untuk menguji pengetahuan teknikal, kemahiran amali serta keupayaan pembentangan berkaitan teknologi EV.
Pertandingan itu bertujuan memperkukuh kompetensi teknikal, menggalakkan pembelajaran berterusan dan pembangunan profesional, selain mengenal pasti bakat baharu bagi menyokong perkembangan industri kenderaan elektrik di Malaysia.
Menurut PRO-NET, pembangunan tenaga kerja selepas jualan yang berkemahiran penting bagi membina keyakinan pelanggan, mengekalkan kualiti perkhidmatan dan mengukuhkan ekosistem EV tempatan selaras dengan peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik.
TAMAT.








