SINGAPURA, 30 Oktober 2026 — Singapura akan mencadangkan pindaan undang-undang pencemaran jerebu rentas sempadan bagi memperkukuh akses penyiasatan terhadap operasi, rantaian bekalan dan hubungan korporat syarikat yang dikaitkan dengan jerebu.
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam berkata, cadangan itu akan dibawa ke Parlimen pada minggu depan.
Beliau menjelaskan langkah berkenaan selepas pertemuan pada Rabu dengan syarikat berdaftar di Singapura yang menerima notis di bawah Seksyen 10 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), menurut transkrip rasmi Kementerian Dalam Negeri Singapura.
“Syarikat-syarikat perlu memberi penilai ini akses penuh kepada operasi mereka, akses kepada rantaian bekalan mereka, akses kepada hubungan korporat mereka,” kata Shanmugam dipetik dari transkrip tersebut.
Menurut Shanmugam, syarikat akan diarahkan melantik pasukan daripada panel yang dipilih kerajaan, melibatkan firma penyiasatan dan firma guaman. Kos penilai akan ditanggung syarikat.
Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura (NEA) akan menetapkan terma rujukan dan perkara yang perlu diteliti. Laporan penilai akan digunakan agensi itu untuk menentukan tindakan berikutnya.
Beliau berkata, jika rang undang-undang itu diluluskan, kegagalan bekerjasama dengan penilai akan dijadikan kesalahan. Sidang Parlimen seterusnya bermula 3 November, menurut laporan The Straits Times yang disiarkan Singapore Law Watch.
Shanmugam menegaskan kerajaan belum mengetahui keseluruhan skala pembakaran atau penglibatan syarikat dan tidak mahu memberi gambaran bahawa syarikat yang dipanggil sudah bersalah atau satu-satunya pihak berkaitan.
Sebelum ini, NEA mengeluarkan notis pada 23 Oktober kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura bagi mendapatkan maklumat tentang hubungan dengan syarikat di Indonesia, menurut laporan sama. Kesemua syarikat diwakili dalam pertemuan pada Rabu.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Walhi nilai saman di Singapura terhadap syarikat induk berkaitan jerebu
Dua anak syarikat TSH terima notis Singapura berkaitan siasatan jerebu
Singapura minta maklumat 10 firma berdaftar dalam siasatan jerebu
Singapura tambah tiga syarikat Indonesia dalam tindakan jerebu










