JAKARTA, 10 November 2026 — Istana Kepresidenan Indonesia mengesahkan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan ketika bertemu Presiden Prabowo Subianto pagi tadi. Istana belum mengumumkan sebarang keputusan mengenai kedudukan Gibran.
Menteri Sekretaris Negara Indonesia, Prasetyo Hadi berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam setengah dan turut menyentuh perkembangan berkaitan keputusan Mahkamah Konstitusi dan Mahkamah Agung, lapor CNN Indonesia.
“Dalam perbincangan itu, Naib Presiden menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan semasa,” kata Prasetyo pada sidang media di Istana, seperti dilaporkan Reuters.
Beliau menafikan laporan bahawa Prabowo telah menolak permohonan itu, namun tidak menyatakan sama ada Presiden menerimanya.
Pertemuan itu berlangsung ketika beberapa ahli Parlimen mempertimbangkan siasatan bagi menentukan sama ada dokumen pendidikan yang dikemukakan Gibran ketika menjadi calon menjejaskan kelayakannya memegang jawatan.
Menurut CNN Indonesia, Gibran turut meminta izin Prabowo untuk membuktikan kesahihan dokumen berkenaan. Pejabat Naib Presiden belum memberikan maklum balas ketika Reuters meminta ulasan.
Gibran, anak kepada bekas Presiden Joko Widodo, bertanding sebagai pasangan Prabowo dalam pilihan raya presiden 2024. Prasetyo berkata pentadbiran Prabowo akan terus menjalankan tugas dan program kerajaan seperti biasa.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Dua tahun Prabowo-Gibran, mahasiswa Indonesia dijadual turun ke jalanan hari ini
Ribuan mahasiswa penuhi Malioboro, bawa tujuh tuntutan kepada DPRD DIY










