PALANGKA RAYA, 27 Oktober 2026 — Sebuah bas dilengkapi tangki oksigen dan petugas perubatan disediakan untuk membantu penduduk Palangka Raya, Kalimantan Tengah yang mengalami gangguan pernafasan ketika jerebu kebakaran hutan berterusan.
Kerajaan tempatan menyediakan kemudahan bergerak itu apabila masalah pernafasan meningkat. Penduduk menerima oksigen melalui tiub kecil pada hidung selama lima hingga 10 minit bagi setiap sesi, menurut laporan Reuters yang disiarkan CNA pada Selasa.
“Perkhidmatan ini bertujuan membantu orang ramai mendapatkan oksigen, khususnya mereka yang mengalami masalah pernafasan,” menurut jabatan kesihatan wilayah Kalimantan Tengah dipetik dari CNA.
Petugas merekodkan butiran penerima dan memberikan bantuan kepada mereka yang melaporkan batuk atau kesukaran bernafas.
Laporan itu memetik Kementerian Kesihatan Indonesia bahawa kira-kira 350,000 kes penyakit pernafasan berkaitan kebakaran direkodkan di negara itu dari Ogos hingga 25 Oktober. Kalimantan Tengah merekodkan kira-kira 31,000 kes sehingga tarikh sama.
Sebelum ini, jerebu tebal menyebabkan jarak penglihatan di Palangka Raya merosot kepada 100 meter pada Sabtu. Penduduk dilaporkan mengalami mata pedih serta gangguan pernafasan, manakala sebahagian ibu bapa membawa bayi mendapatkan bantuan di kemudahan rumah oksigen.
Dalam laporan terdahulu pada 22 Oktober, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) menyatakan hujan berselerak belum mencukupi untuk memadamkan kebakaran, dengan operasi pemadaman dan rondaan diteruskan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Langit jingga selubungi Palangka Raya, jarak penglihatan merosot kepada 100 meter
Malaysia terus bantu Indonesia tangani jerebu
Titik panas Indonesia turun kepada 565, hujan belum cukup padam kebakaran
Singapura minta maklumat 10 firma berdaftar dalam siasatan jerebu
Malaysia bawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat ASEAN di Manila










