TEHRAN, 26 Oktober 2026 — Pegawai kanan Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan dijadualkan bertemu pegawai Iran di Tehran pada Isnin bagi membincangkan penyelarasan serantau, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu.
Menurut Reuters yang disiarkan RTHK, Arab Saudi dijangka diwakili Menteri Pertahanan, Putera Khalid bin Salman, manakala Pakistan diwakili Panglima Tentera Darat, Field Marshal Asim Munir.
Seorang daripada sumber turut memaklumkan ketua perisikan Turkiye akan menyertai pertemuan itu. Kedua-dua sumber meminta identiti mereka dirahsiakan.
Pejabat media kerajaan Arab Saudi dan sayap media tentera Pakistan belum memberikan maklum balas terhadap permintaan ulasan, menurut laporan berkenaan.
Pertemuan yang dirancang itu dilaporkan akan menjadi hubungan peringkat tinggi pertama antara Iran dengan semua anggota pakatan tiga negara berkenaan sejak serangan Houthi terhadap Arab Saudi meningkat.
Sebelum ini, menteri negara anggota mengadakan mesyuarat tergempar di Riyadh dan bersetuju mempercepat penempatan pasukan serta keupayaan ketenteraan di Arab Saudi.
“Menyediakan pasukan dan keupayaan ketenteraan yang dipersetujui serta memastikan penempatannya dengan segera,” menurut kenyataan bersama yang disiarkan Agensi Berita Saudi selepas mesyuarat pada 5 Oktober.
Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah dimeterai pada Ogos, dengan serangan bersenjata terhadap satu anggota dianggap serangan terhadap semua. Menurut Reuters, Pakistan meluluskan perjanjian itu minggu lalu, manakala proses ratifikasi di Parlimen Turkiye masih berjalan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan aktifkan pertahanan bersama berdepan Houthi
Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan adakan rundingan pertahanan di Riyadh










