ISTANBUL, 26 Oktober 2026 — Lebih 95 peratus kapal perdagangan yang melalui Selat Hormuz berjaya merentasi laluan itu dengan selamat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menurut Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).
Dalam kenyataan pada Ahad yang dilaporkan Bernama-Anadolu, CENTCOM menyatakan tenteranya membantu lebih 3,000 kapal dagang melalui perairan strategik itu sepanjang enam bulan lalu.
CENTCOM mendakwa kapal berkenaan melalui selat itu dengan selamat meskipun berdepan tindakan agresif Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
“Kami akan terus berdiri teguh bersama rakan kami di Teluk dan industri perkapalan,” kata Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper dipetik dari Bernama-Anadolu.
Cooper membuat kenyataan itu ketika mengadakan lawatan ke laluan perairan berkenaan.
CENTCOM turut memaklumkan tenteranya membantu negara rakan di Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah sejak musim panas lalu.
Menurut pemerintahan itu, usaha membantu kapal dagang dipertingkatkan selepas tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan periuk api laut yang didakwanya dipasang IRGC di laluan perkapalan antarabangsa.
Sebelum ini, sebuah kapal tangki dilaporkan terkena projektil ketika bergerak keluar dari Selat Hormuz pada awal Oktober. Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan kebakaran kecil serta gangguan bekalan elektrik, manakala anak kapal dilaporkan selamat.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kapal tangki terkena projektil tidak dikenal pasti di Selat Hormuz
Iran sifatkan respons AS terhadap syarat pembukaan Hormuz tidak mencukupi










