MELAKA, 7 Oktober 2026 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan ketetapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas urusan pilihan raya di Melaka pada Rabu. Tempoh kempen ditetapkan selama 14 hari, menurut BERNAMA.
Seramai 687,697 pemilih layak mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.
Permohonan undi pos kategori dalam dan luar negara telah dibuka sejak 23 September. Tarikh tutup bagi Kategori 1A, meliputi petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan media, ialah 28 Oktober.
“Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula adalah pada 23 Okt,” kata Ramlan dipetik dari BERNAMA.
SPR menganggarkan peruntukan pelaksanaan PRN sebanyak RM28.45 juta. Sebanyak 11,175 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya, menurut laporan sama.
Sebelum ini, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang mempunyai 28 kerusi membuka laluan kepada PRN ke-16. Dalam pilihan raya 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima dan Perikatan Nasional (PN) dua.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Agihan kerusi PH Melaka selesai di negeri, tunggu keputusan Majlis Presiden
PRN Melaka bukan sekadar perebutan 28 kerusi
DUN Melaka dibubar, rakyat bakal pilih kerajaan negeri baharu










