MELAKA, 24 Oktober 2026 — Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan pada Sabtu menggariskan 429 ikhtiar melalui 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup.
Pelan lima tahun itu merangkumi lapan kluster, iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua keutamaan ialah meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
“Ia juga bersifat dinamik bertujuan memastikan pelan tindakan berkenaan kekal relevan dan boleh disesuaikan dalam mendepani cabaran domestik selain ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global,” kata Armizan dipetik dari BERNAMA.
Pelan itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Krubong.
Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi mandat lebih luas untuk memantau keseluruhan ikhtiar yang digariskan.
Sebelum ini, menurut Armizan, NACCOL meneliti dan mempertimbangkan inisiatif baharu serta isu sara hidup. Peranannya kini turut meliputi pemantauan pelaksanaan supaya teratur, bersasar dan tidak bertindih.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Hampir RM11 bilion STR dan SARA disalurkan sehingga September
Belanjawan 2027 tumpu ringankan beban rakyat — Anwar
[Belanjawan 2027] Subsidi petroleum disesuaikan mengikut harga minyak










