KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut berkuat kuasa 5 Oktober ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Aedy berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.
“Tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum tarikh kuat kuasa pada 5 Oktober masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
“Bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, bagi pembayaran saman melibatkan bukan warga Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia–Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ.
“Ia ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula jam 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.
Aedy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, dalam penjelasan pada 9 Disember 2025, JPJ menyatakan pelantikan ejen pemungut bertujuan memperluas akses perkhidmatan awam. Jabatan itu ketika itu menyenaraikan MyEG antara ejen sah serta menjelaskan bahawa aplikasi MyJPJ kekal sebagai platform rasmi kerajaan bagi urusan digital JPJ.










