SIANG menghadap komputer, malam menghadap telefon. Dalam perjalanan pulang pula mata masih pada skrin. Kita selalu kata mahu berehat selepas kerja, tetapi persoalannya adakah otak kita benar-benar berehat, atau cuma bertukar daripada satu skrin kepada skrin yang lain?
Pukul 6 petang, laptop ditutup. Secara teori, kerja sudah tamat. Tetapi bagi ramai pekerja Malaysia, hari sebenarnya belum berakhir.
Telefon dibuka. WhatsApp diperiksa. E-mel masuk. TikTok naik-turun. Instagram dibuka. Video YouTube dimainkan. Sebelum tidur, satu episod Netflix pula menjadi penutup hari.
Kita memanggil semua itu berehat. Tetapi otak masih menerima maklumat. Masih membaca. Masih menonton. Masih membalas. Masih memproses. Jadi bila sebenarnya kita berhenti?
Perkataan burnout sudah terlalu biasa digunakan sehingga kadangkala kita menganggapnya sekadar istilah moden untuk penat bekerja.
Hakikatnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan burnout sebagai fenomena pekerjaan yang berpunca daripada tekanan kronik di tempat kerja yang tidak berjaya diuruskan.
Ia biasanya dikaitkan dengan tiga perkara, keletihan, perasaan semakin jauh atau negatif terhadap pekerjaan dan kemerosotan keberkesanan profesional.
Di Malaysia, isu itu bukan kecil.
Laporan Wellness at Work 2024 oleh Employment Hero yang melibatkan lebih 1,000 pekerja Malaysia mendapati 67 peratus responden melaporkan mengalami burnout, meningkat daripada 58 peratus pada 2022.
Golongan milenial merupakan antara yang paling terjejas dalam kajian itu, diikuti pekerja Gen Z. Angka tersebut sepatutnya membuat kita bertanya sesuatu yang lebih besar.
Adakah masalahnya hanya kerja terlalu banyak? Atau cara hidup kita sendiri tidak lagi memberi ruang kepada tubuh dan minda untuk benar-benar “off”?
Laporan Wellness at Work 2024 oleh Employment Hero yang melibatkan lebih 1,000 pekerja Malaysia mendapati 67 peratus responden melaporkan mengalami burnout, meningkat daripada 58 peratus pada 2022.
Balik rumah, tapi otak masih di pejabat
Teknologi membuatkan kerja menjadi lebih mudah. Tetapi teknologi juga menjadikan sempadan antara pejabat dengan kehidupan peribadi semakin kabur. Dahulu, apabila seseorang meninggalkan pejabat, kebanyakan urusan kerja turut ditinggalkan.
Hari ini, pejabat berada dalam poket. WhatsApp. Telegram. E-mel. Google Meet. Microsoft Teams. Slack. Semua boleh mencari kita di meja makan, di atas katil atau ketika bercuti.
Kadangkala mesej itu tidak pun mendesak. Tetapi apabila telefon berbunyi pada pukul 10 malam dan nama bos muncul di skrin, otak secara automatik kembali kepada mod kerja.
Secara fizikal kita berada di rumah. Secara mental kita belum tentu sudah pulang.
WHO Malaysia sendiri memberi perhatian kepada tekanan dan kesihatan mental di tempat kerja, sambil menyatakan bahawa dapatan NHMS menunjukkan prevalens kemurungan di Malaysia meningkat dua kali ganda antara 2019 dan 2023. Kadar tertinggi turut direkodkan dalam kumpulan umur muda yang membentuk sebahagian besar tenaga kerja semasa dan masa depan.
Selepas lapan atau sembilan jam menghadap laptop, ramai antara kita melakukan sesuatu yang kelihatan sangat normal. Baring. Ambil telefon. Scroll. Satu video menjadi sepuluh. Sepuluh menjadi 30. Tiba-tiba satu jam berlalu. Ia memang boleh terasa menyenangkan kerana kita tidak lagi memikirkan kerja.
Tetapi tidak bekerja tidak semestinya sama dengan berehat. Otak masih dibanjiri rangsangan. Satu video lucu. Kemudian berita perang. Kemudian iklan. Kemudian gosip selebriti. Kemudian video makanan. Kemudian cerita politik. Kemudian seseorang bergaduh dalam ruang komen.
Dalam masa beberapa minit sahaja, emosi kita boleh berubah daripada ketawa kepada marah, terkejut, sedih dan kembali ketawa. Kita mungkin sedang berbaring. Tetapi otak sedang bekerja keras mengikuti semuanya.
Kita sudah lupa bagaimana rasanya bosan
Ini mungkin bahagian paling menarik dalam kehidupan moden. Kita hampir tidak pernah membiarkan diri sendiri tidak melakukan apa-apa. Menunggu lif, telefon keluar. Beratur beli makanan, telefon keluar. Lampu merah, telefon diperiksa. Makan seorang, buka YouTube. Sebelum tidur, TikTok. Bangun tidur, telefon dahulu.
Bahkan ketika pergi ke tandas pun telefon ikut sekali. Setiap ruang kosong dalam kehidupan kita diisi dengan kandungan.
Sedangkan suatu ketika dahulu, manusia mempunyai banyak masa kecil untuk termenung, melihat sekeliling atau sekadar membiarkan fikiran melayang. Hari ini kita menganggap kebosanan sesuatu yang perlu dielakkan.
Padahal mungkin saat-saat tidak melakukan apa-apa itulah antara peluang paling mudah untuk otak mengurangkan rangsangan.
Masalah menjadi lebih besar apabila penggunaan telefon mengambil masa yang sepatutnya digunakan untuk tidur.
Dan kita pelik kenapa setiap pagi badan terasa seperti belum cukup berehat.
Ada satu lagi fenomena. Pergi bercuti tetapi membawa laptop. Pergi makan malam tetapi menjawab WhatsApp pejabat. Bawa anak ke taman tetapi sesekali memeriksa e-mel. Naik kapal terbang sahaja sudah mencari Wi-Fi. Kemudian kita mengatakan: “Aku tak boleh off.”
Cuti pun masih bekerja
Ada satu lagi fenomena. Pergi bercuti tetapi membawa laptop. Pergi makan malam tetapi menjawab WhatsApp pejabat. Bawa anak ke taman tetapi sesekali memeriksa e-mel. Naik kapal terbang sahaja sudah mencari Wi-Fi. Kemudian kita mengatakan: “Aku tak boleh off.”
Mungkin itu kedengaran seperti dedikasi. Tetapi dalam jangka panjang, kegagalan memisahkan kerja daripada kehidupan boleh menjadi masalah. Rehat bukan sekadar berada di luar pejabat. Rehat ialah apabila otak tidak lagi menjangkakan tugasan seterusnya.
Sudah tentu penyelesaiannya bukan membuang telefon ke dalam sungai. Teknologi membantu kita bekerja, belajar, berkomunikasi dan berhibur. Masalahnya bukan kewujudan telefon. Masalahnya ialah apabila setiap saat kosong perlu diisi dengannya.
Mungkin kita perlu membina semula beberapa sempadan yang pernah wujud secara semula jadi. Selepas waktu tertentu, jangan periksa e-mel kerja kecuali benar-benar perlu. Makan tanpa telefon sekali-sekala. Berjalan 15 atau 20 minit tanpa podcast, muzik atau TikTok.
Jangan bawa telefon ke atas katil. Biarkan diri sendiri bosan. Kedengarannya terlalu mudah. Tetapi untuk generasi yang sudah terbiasa menerima rangsangan setiap beberapa saat, duduk diam selama 20 minit mungkin terasa lebih sukar daripada berjoging.
Tidak adil jika semua tanggungjawab diletakkan kepada pekerja. Kita tidak boleh menyuruh pekerja menjaga kesihatan mental jika budaya organisasi sendiri menganggap membalas mesej pada tengah malam sebagai perkara biasa.
Jika seseorang bercuti tetapi masih dijangka menjawab WhatsApp, itu bukan cuti sepenuhnya. Jika pekerja sentiasa perlu tersedia selepas waktu pejabat, maka masalahnya bukan sekadar pengurusan masa. Ia masalah budaya kerja.
Laporan dan panduan antarabangsa mengenai kesihatan mental di tempat kerja semakin menekankan bahawa kesejahteraan pekerja memerlukan perubahan bukan sahaja pada individu, tetapi juga pada organisasi. WHO Malaysia turut menyeru supaya tempat kerja menjadi lebih inklusif dan menyokong kesihatan mental pekerja.
Jadi bila otak kita sebenarnya berehat?
Mungkin ketika kita tidur. Tetapi kalau tidur pun lima jam kerana satu jam terakhir dihabiskan dengan TikTok, jawapan itu juga menjadi rumit. Hakikat kehidupan moden ialah kita mempunyai lebih banyak alat untuk menjimatkan masa berbanding mana-mana generasi sebelumnya.
Namun kita sentiasa merasa tidak mempunyai masa. Kita mempunyai mesin basuh. Penghantaran makanan. Perbankan dalam telefon. Mesyuarat atas talian. Kereta. Internet berkelajuan tinggi. Segala-galanya dicipta supaya kehidupan menjadi lebih mudah.
Tetapi masa yang dijimatkan itu akhirnya diisi semula dengan kerja, notifikasi dan kandungan. Mungkin masalah kita bukan kekurangan masa untuk berehat. Mungkin kita sudah lupa cara untuk berehat. Kerja selesai, kita buka telefon. Telefon ditutup, kita tidur. Bangun pagi, telefon dibuka semula. Kemudian kembali bekerja. Dan kitaran itu berulang.
Jadi malam ini, selepas membaca artikel ini, cuba lakukan sesuatu yang semakin asing dalam kehidupan moden. Letakkan telefon. Duduk. Diam. Tidak perlu menonton apa-apa. Tidak perlu membaca apa-apa. Tidak perlu membalas sesiapa.
Kerana kadangkala perkara yang paling diperlukan oleh otak kita bukan lagi satu video motivasi tentang bagaimana mahu menguruskan stres. Ia cuma perlukan satu perkara yang semakin sukar diperoleh iaitu sunyi.










